Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Terdapat pengusaha kelab malam yang bertindak menggunakan alat pengukur kandungan alkohol untuk mengesan pelanggan yang mabuk, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Insiatif itu diambil meskipun pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) baru sahaja dibentang bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu.

Menurut Ka siong, tindakan itu menunjukkan sudah timbul kesedaran dalam kalangan pengusaha premis kelab malam untuk walaupun kerajaan belum lagi mewajibkan langkah itu.

“Memang sudah ada kesedaran mereka (pengusaha pusat hiburan), ada yang sudah beli alat pengukur kandungan alkohol. Kita tidak mewajibkan mereka, yang penting mereka yang sudah minum (mabuk), tidak boleh memandu.

“Itu kita sudah syaratkan dalam kempen kita, supaya tidak kira siapa pun mereka, kita menasihatkan supaya patuh kepada Akta 333 (Akta Pengangkutan Jalan 1987),” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Parit- BN), Datuk Mohd Nizar Zakaria pada sesi Pertanyaan bagi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Nizar bertanyakan sama ada kerajaan akan mewajibkan pengusaha kelab malam melakukan ujian pengesanan alkohol terhadap pelanggan sebelum pelanggan itu dibenarkan memandu untuk pulang.

Mengulas lanjut, Ka Siong memberitahu, syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing seperti Grab juga digalak membuat promosi secara besar-besaran untuk perkhidmatan pengangkutan khususnya kepada pelanggan di pusat hiburan bagi mengatasi isu pemandu mabuk.

Terdahulu, Ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen (Tampin-PH) Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin), Ka Siong berkata, pihaknya sudah mengarahkan agensi utama termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk menggiatkan lagi aktiviti advokasi dan program pendidikan keselamatan jalan raya.

Katanya, beliau percaya pelbagai program kemudahan dan inisiatif boleh diadakan dengan jayanya menerusi sokongan dan penglibatan semua pihak.

“Kementerian Pengangkutan berharap supaya Rang Undang-Undang Pindaan yang akan dibentangkan di dalam dewan ini (bagi bacaan kedua dan ketiga) akan mendapat sokongan daripada semua ahli-ahli Yang Berhormat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette