Jacob George

KUALA LUMPUR – Memandangkan pemakaian pelitup muka sudah diwajibkan di negara ini maka kerajaan diminta menjadikan ia sebagai barang kawalan keperluan.

Ini bermakna penentuan harga siling pelitup muka sebanyak RM1.50 sekeping perlu dikaji dan dipertimbangkan oleh kerajaan semula.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George berkata, harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan sebenarnya masih mahal jika mengambil kira ia perlu digunakan setiap masa oleh rakyat negara ini.

Menurutnya, sebuah keluarga dengan empat orang ahli memerlukan sekurang-kurangnya tiga kotak pelitup muka yang setiap kotak mengandungi 50 keping untuk kegunaan sebulan.

Penggunaan itu memerlukan peruntukan kos antara RM150 hingga RM225.

“Itu keluarga yang mempunyai 4 orang ahli, kalau mereka yang berkeluarga ramai macam mana, sudah tentu kos lebih tinggi. Untuk golongan B40 jumlah tersebut mungkin dilihat satu pembaziran – daripada beli pelitup muka, adalah lebih baik digunakan untuk membeli beras dan keperluan perut mereka.

”CASSA tidak pasti sama ada kerajaan ada melihat isu kos ini sebelum mewajibkan pemakaian pelitup muka ini atau sebaliknya. Kita tidak membantah pemakaian pelitup muka ini demi keselamatan tetapi bagaimana dengan ‘keselamatan’ poket pengguna.

“Kalau poket pengguna terjejas bagaimana mereka dapat mematuhi arahan kerajaan. Itu yang menjadi persoalan kepada CASSA.

“Oleh itu, kita mahu kerajaan melihat semula penentuan harga pelitup muka ini. Ini kerana secara logiknya harga pelitup muka dari pengeluaran kilang tempatan tidak boleh sama dengan pelitup muka yang diimport,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Akhir bulan lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan mulai 1 Ogos, pelitup muka wajib dipakai dalam pengangkutan awam dan di kawasan sesak atau tumpuan umum.

Kegagalan mematuhi peraturan baharu ini boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

Dalam pada itu, Jacob turut mempersoalkan adakah mana-mana agensi penguatkuasa memeriksa atau memantau kualiti lambakan pelbagai warna pelitup muka yang dijual di pasaran.

Menurutnya, berdasarkan wawancara yang dilakukan bersama pengguna, rata-rata mereka juga keliru dengan kualiti pelitup muka yang dijual.

“Kita tahu Kementerian Kesihatan meminta pengguna membeli pelitup muka tiga lapisan tapi di luar sana pelitup selapis pun ada.

”Rakyat dimaklumkan apabila memakainya, lapisan berwarna biru dipakai di bahagian luar tetapi di pasaran ada macam-macam warna -putih sahaja, ungu, hijau dan sebagainya.

“Kenapa ada kepelbagaian ini, rakyat keliru,” tambah beliau.

Itu belum lagi dengan pelbagai aduan lain yang diterima CASSA, antaranya tali pelitup muka mudah tercabut, bau yang kurang menyenangkan dan iritasi pada kulit muka.

“Aduan-aduan ini membuatkan kami tertanya-tanya siapa yang memeriksa kualiti pelitup muka yang dijual. Adakah pelitup muka yang dijual mematuhi standard yang sepatutnya?

”Logiknya jika ada pengesahan kualiti dari SIRIM contohnya, sudah tentu isu-isu begini tidak akan timbul,” ujarnya.

Jacob berkata, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlulah memantau isu-isu ini dan bukan sekadar mengeluarkan arahan.

Tindakan ini perlu seiring kerana CASSA tidak mahu pengeluar-pengeluar mengambil kesempatan ke atas pengguna ketika penguatkuasa begitu ghairah mengeluarkan kompaun kepada individu yang gagal memakai pelitup muka sedangkan pengguna juga mempunyai sebab untuk tidak mematuhinya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast