Kilang Lynas di Gebeng, Kuantan.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Tapak Pelupusan Sisa Industri Pelbagai Kategori untuk menampung operasi kilang pengeluar nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd. kini sedang dalam langkah pewartaan oleh Kerajaan Negeri Pahang.

Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, langkah bagi mewujudkan tapak seluas kira-kira 202 hektar di Bukit Ketam itu sudah menerima isyarat ‘lampu hijau’ daripada kerajaan negeri berkenaan.

Menurutnya, kelulusan sama turut diperuntuk kepada Lynas bagi membina Tapak Pelupusan Kekal (PDF) di mana-mana bahagian dalam kawasan dekat mukim Kuala Kuantan.

“Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dalam mesyuarat pada 28 Julai lalu, meluluskan cadangan untuk mewujudkan tapak, namun tertakluk kepada Penilaian Impak Radioaktif (RIA), Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan keperluan lain yang difikirkan perlu oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Laporan semua kajian ini perlu dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk penilaian sebelum kebenaran membina PDF dikeluarkan AELB,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Khairy berkata, pembangunan PDF bagi menampung operasi Lynas hanya memerlukan kawasan seluas 12 hektar atau enam peratus daripada keseluruhan kira-kira 202 hektar yang bakal diwartakan kerajaan Pahang.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen (Kuala Krai-PAS), Abdul Latiff Abdul Rahman mengenai kemungkinan untuk menyambung semula penyelidikan dan pembangunan (R&D) Lynas dalam menghasilkan produk perapi tanah, Khairy berkata, pertimbangan lanjut berhubung perkara itu akan dibuat oleh Jemaah Menteri.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin

Katanya, ia antara lain bakal bersandarkan kepada beberapa faktor, termasuk keberkesanan perapi tanah yang dihasilkan menerusi sisa penulenan air larut lesap (WLP), risiko dan kesan radioaktif terhadap manusia menerusi hasil produk tanaman.

“Menerusi kajian, kesan perapi tanah keluaran Lynas terhadap tanaman kenaf, padi, jagung, kelapa sawit dan napier berjaya meningkatkan kadar hasil pengeluaran.

“Contohnya, tanaman kenaf yang menggunakan perapi tanah mencatatkan peningkatan hasil hampir 80 peratus, manakal jagung merekodkan tambahan hasil lebih 100 peratus. Justeru, ia terbukti mampu merawat dan menyuburkan tanah,” ujarnya. – MalaysiaGazette