Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin menyaksikan Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Daerah KLIA, ACP Zulkifli Adam Shah (kiri) dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, ACP Imran Abd Rahman (kanan) yang akan menjawat kedua dua jawatan tersebut berkuatkuasa hari ini pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Polis KLIA, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 04 OGOS 2020

SEPANG – Polis telah mendapat arahan Timbalan Pendakwaraya Selangor untuk menuduh lapan suspek termasuk seorang warga tempatan bagi kes membabitkan seorang bapa merogol dan melacurkan anak kandung bersama isterinya kepada tujuh warga asing pada 13 Julai lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaluddin berkata, mereka akan didakwa di Mahkamah Klang di bawah Akta Anti Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia (ATIPSOM) pada  Rabu ini.

“Siasatan kes itu sudah diselesaikan dan kita telah mendapat arahan (Timbalan Pendakwaraya) untuk menuduh (lapan suspek) di mahkamah ATIPSOM Klang,” katanya dalam sidang media di IPD KLIA hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Zulkifli Adam Shah dan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPK Selangor, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman hari ini.

Majlis yang sama turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Arjunaidi Mohamed dan semua ketua-ketua polis daerah di negeri itu.

Ditanya berkenaan status kertas siasatan terhadap kelapan-lapan suspek di bawah tuduhan Akta 376 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak kerana merogol remaja perempuan dan ibunya, Noor Azam berkata, kertas siasatan itu akan diselesaikan secepat mungkin.

“Kita sudah lengkapkan kertas siasatan bawah ATIPSOM dan mahu dakwa dulu dalam akta berkenaan di Klang, kertas siasatan rogol akan kita uruskan kemudian,” katanya lagi.

Terdahulu, sumber polis memberitahu MalaysiaGazette kesemua lapan suspek akan dituduh di mahkamah pada Rabu ini bawah ATIPSOM sementara menunggu laporan perubatan kedua-dua mangsa rogol untuk melengkapkan kertas siasatan bawah 376 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-Kanak.

Kesemua lapan suspek yang ditahan di sekitar Pandah Indah dan Cheras, Kajang telah direman tujuh hari bermula 13 Julai hingga 21 Julai sebelum direman selama tujuh hari lagi sehingga 31 Julai untuk disiasat di bawah ATIPSOM sebelum disambung lagi sehingga 7 Ogos ini.- MalaysiaGazette