Datuk Rizal Mansor. foto AFFAN FAUZI, 15 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-16 kes rasuah pembekalan dan pemasangan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 buah sekolah di pedalaman Sarawak melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor menyambung keterangan hari ini.

Rayyan Radzwill Abdullah ketika di soal peguambela, Datuk Akberdin Abdul Kader mendakwa, bekas pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor pernah mendesaknya meminta sejumlah untuk diri serta keluarganya mengerjakan umrah.

Dakwa Rayyan, wang itu telah diminta oleh Rizal kepada rakan perniagaan kepada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin namun jumlah sebenarnya wang di pinta olehnya tidak diketahui oleh saksi.

Bagaimanapun, ketika Akberdin bertanya dengan lebih mendalam tentang ‘habuan’ duit yang diberikan kepada Rizal oleh Saidi, Rayyan mengakui dirinya tidak begitu pasti kecuali serahan RM500,000 serta wang untuk umrah kepada Rizal.

Akberdin: Ketika Saidi hendak menyerahkan wang sebanyak RM500,000 kepada Rizal di rumahnya di Segambut, adakah kamu ikut sekali?

Rayyan: Ya, saya ikut. Saidi bawa beg.

Akberdin: Adakah anda setuju bahawa Rizal telah dibayar Saidi RM50,000 sebanyak tujuh kali sepanjang projek solar ini berjalan seperti penanugerahan kontrak dan sebagainya antara 2015 hingga 2016?

Rayyan: Itu saya tidak pasti. Yang saya tahu, bila dia hendak buat umrah dengan keluarganya, ada minta duit kepada Saidi. Dia ada minta saya juga untuk beritahu Saidi tentang perkara itu.

Rizal ada desak duit untuk ke umrah, yang lain saya tidak pasti.

Akberdin: Adakah anda tahu Rizal pernah didakwa atas 4 tuduhan di mahkamah yang mulia ini? Kemudiannya kes itu tidak diteruskan.

Rayyan: Saya tahu.

Sebelum ini ketika membacakan kenyataan saksi, Rayyan mendakwa untuk mendapatkan projek solar hibrid ini, Saidi memerlukan seseorang yang berpengaruh bagi sokongan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Untuk itu, dakwa Rayyan, Saidi cuba meminta bantu Rizal untuk berurusan dengan Rosmah yang juga isteri kepada Najib.

Malah dakwa Rayyan, Rizal turut ‘bahagian’ sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi.

Wang-wang ini didakwa sebagai ‘habuan’ upah membantu Jepak Holdings Sdn Bhd  mendapatkan projek solar hibrid sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 2016.

Semalam, Rayyan mendakwa, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta 20 peratus yang bersamaan dengan RM60 juta selama lima tahun atau RM1 juta setiap bulan untuk tempoh lima tahun daripada Jepak Holdings sebagai habuan kelulusan.

Perbicaraan bersambung di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Rosmah ketika ini sedang berhadapan dengan pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Saidi. –MalaysiaGazette