Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan telah mengeluarkan arahan kepada ibu bapa dan pelajar yang pernah bercuti di daerah Kubang Pasu, Kedah untuk menjalani saringan Covid-19 di klinik-klinik kesihatan berdekatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan, KKM tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan rasmi seperti yang tular di media-media sosial.

Jelasnya, seperti yang telah diumumkan hanya individu yang mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif Covid-19; penduduk yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran iaitu yang berada dalam radius satu kilometer dari Restoran Nasi Kandar Salleh, Pekan Napoh; Kampung Pida Satu, Megat Dewa; Kampung Bendang Dalam dan Kampung Ulu Padang Salai diminta untuk menjalani saringan.

Selain itu, individu yang berkait rapat dengan kedai makan terbabit seperti pelanggan atau yang pernah berurusan dengan kes indeks Kluster PUI Sivagangga atau pekerja-pekerja Kedai Nasi Kandar Salleh dalam tempoh 13 Julai 2020 hingga 27 Julai 2020 turut diperintahkan untuk membuat saringan Covid-19.

Ujian saringan juga perlu dilakukan sekiranya terdapat individu yang mempunyai gejala demam atau masalah saluran pernafasan.

“Individu-individu seperti di atas perlu segera menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan untuk menjalani saringan Covid-19.

“KKM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dalam menangani isu ini bagi memastikan arahan yang dikeluarkan adalah selari dan sahih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette