Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan agensi yang mengurus zakat memberi sumbangan besar dalam membantu petugas barisan hadapan dan rakyat terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19 sejak Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, ini boleh dilihat apabila kedua-dua badan itu menyalurkan peruntukan besar berjumlah lebih RM426.9 juta bagi membantu golongan asnaf, pelajar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), petugas barisan hadapan dan gelandangan.

Katanya, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sendiri mengagihkan bantuan zakat berjumlah lebih RM45 juta bagi membantu golongan asnaf, pelajar, petugas barisan hadapan, NGO dan gelandangan di Wilayah Persekutuan mulai 18 Mac 2020.

“MAIWP juga mempercepatkan bantuan bulan kepada penerima zakat di Wilayah Persekutuan pada bulan pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19.

“Bagi mereka terjejas akibat pelaksanaan PKP, MAIWP turut menyediakan bantuan kecemasan akibat Covid-19.

“Sehingga kini seramai 17,500 orang menerima manfaat daripada skim ini yang sehingga kini berjumlah RM8.65 juta.

“MAIWP juga turut mengagihkan bantuan makanan kepada petugas barisan hadapan dan memberikan bantuan kewangan kepada tujuh hospital serta pakaian perlindungan peribadi (PPE) kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya yang turut memberitahu antara jenis bantuan disalurkan MAIWP berupa bantuan khas zakat tambahan berjumlah RM500 kepada 24,196 asnaf dengan jumlah keseluruhan lebih RM12 juta.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukan oleh Ahli Parlimen (Pasir Puteh-PAS), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang meminta Perdana Menteri menyatakan penjelasan mengenai sumbangan wang zakat dan baitulmal digunakan untuk membantu golongan terkesan sepanjang PKP.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Nik Muhammad Zawawi, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan tidak bercadang menubuhkan sebuah perbadanan bagi menguruskan hal ehwal zakat di peringkat nasional.

Ini kerana katanya, ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan perkara itu tertakluk kepada bidang kuasa MAIN dan Sultan/Raja sebagai ketua agama di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette