UPSI Diploma
Proses pendaftaran pelajar program diploma Universiti Perguruan Sultan Idris berjalan lancar mengikut SOP yang ditetapkan.

KUALA LUMPUR – Pelajar baharu program diploma Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ambilan Ogos semester pertama sesi 2020/2021 mula mendaftar hari ini.

Mereka yang hadir bersama keluarga membuat pendaftaran secara berperingkat bermula jam 8 pagi hingga 4 petang ini, di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Menurut Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran, proses itu diadakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan UPSI.

“Saya ucap tahniah kepada pelajar yang berjaya melanjutkan penggajian di UPSI dan memilih universiti nombor satu pendidikan di negara ini untuk menjalani kehidupan kampus,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, UPSI menawarkan kira-kira 1,000 tempat untuk pelajar baharu ambilan diploma termasuk menyediakan pelbagai kemudahan untuk belajar serta kemudahan kolej kediaman yang selesa.

Selain itu, katanya, UPSI turut memberi pelbagai pendedahan ilmu dan kemahiran seperti elemen keusahawanan dan penguasaan sekurang-kurangnya tiga bahasa supaya setiap graduan menjadi idaman majikan kelak.

“Saya meletakkan harapan tinggi agar pelajar baharu UPSI menyahut cabaran universiti ini untuk mempelbagaikan kemahiran, selain akademik.

“Malah, baru-baru ini Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU) menawarkan kursus Bahasa Isyarat bagi memantapkan keterampilan pelajar,” katanya.

Prof. Dr. Mohammad Shatar berkata, pelajar UPSI dimantapkan dengan pelbagai kemahiran agar memiliki ciri kebolehpasaran graduan untuk bersaing dalam pasaran kerjaya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pelajar baharu agar mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebagai langkah memelihara keselamatan dari sebarang jangkitan Covid-19.

Pada sesi pendaftaran itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Md. Amin Md. Taff turut turun padang bertemu pelajar baharu dan bermesra dengan ahli keluarga mereka.

Md. Amin juga dalam kenyataannya, menganggap mereka yang berjaya memasuki UPSI sebagai bertuah kerana universiti itu menerima ribuan permohonan yang berminat melanjutkan pengajian di institusi pengajian tersohor itu.

Beliau berharap ibu bapa tidak risau dengan keselamatan anak kerana UPSI menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) akan memelihara kebajikan mereka sebaik sahaja mendaftar sebagai pelajar UPSI.

Kata beliau, seramai 53  Rakan Suai Kenal (RSK) melibatkan mahasiswa senior terbabit membantu JHEPA menguruskan pendaftaran pelajar serta sepanjang minggu suai kenal sehingga Jumaat ini.

“Kami menyediakan pelbagai kemudahan pembelajaran dan peralatan beraktiviti yang memberi keselesaan untuk pelajar meningkatkan ilmu hingga tamat pengajian dengan cemerlang dalam 12 bidang diploma di sembilan fakulti,” kata Md. Amin. – MalaysiaGazette