Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan kes seorang polis bantuan yang didakwa telah mencabul seorang pelajar wanita di stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Dalam satu kenyataan, Prasarana berkata, suspek itu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya tengahari tadi untuk memberi keterangan.

“Beliau (polis bantuan)itu telah ditahan oleh polis untuk siasatan lanjut.

“Prasarana turut akan menjalankan siasatan dalaman yang menyeluruh dan akan menyerahkan sebarang penemuan kepada pihak polis,” kata syarikat peneraju pengangkutan awam negara di sini.

Prasarana, kata kenyataan itu, memandang serius kejadian yang menimpa penumpangnya dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau melakukan jenayah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya dalam kenyataan media hari ini mengesahkan suspek berusia 36 tahun itu berjaya ditahan susulan laporan polis dari mangsa berusia 19 tahun itu pada 30 Julai lalu.

Katanya suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu bagi proses permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut kes. – MalaysiaGazette