Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Malaysia mencatatkan sebanyak 21 kes baharu positif Covid-19 hari ini berbanding hanya satu kes baharu semalam.

Daripada jumlah itu, sebanyak 15 adalah kes import manakala baki enam adalah jangkitan tempatan.

Lapan belas pesakit telah sembuh manakala dua lagi sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi, bagaimanapun tiada pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Tiada kematian dicatatkan hari ini menjadikan angka kekal 125.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, enam kes tempatan itu melibatkan tiga daripada Kluster PUI Sivagangga di Kedah, dua kes di Sabah dan satu lagi di Johor.

“Ketiga-tiga kes PUI Sivagangga dikenalpasti melalui saringan kontak rapat kes positif kluster ini di mana mereka adalah kes generasi kedua.

“Dua daripada kes tersebut adalah kontak rapat kepada kes ke-9, 000 di mana kedua-duanya adalah anak kepada kes tersebut (iaitu kes ke-9, 021 dan kes ke-9, 022).

“Seorang daripada anak beliau telah mengalami gejala saluran pernafasan pada 30 Julai lalu namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

“Kes ketiga (iaitu kes ke-9023) pula adalah kontak rapat kepada kes ke-8976. Beliau telah mengalami gejala demam serta gejala saluran pernafasan pada 2 Ogos 2020 dan telah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Taman Selasih, Kulim,” katanya dalam satu kenyataan hari.

Setakat ini seramai 1,647 orang di bawah Kluster PUI Sivagangga telah disaring yang mana 24 kes dikesan positif Covid-19 manakala 754 negatif dan 869 masih menunggu keputusan.

Tambah Noor Hisham, selain kes Kluster PUI Sivagangga, kes-kes terbaharu positif Covid-19 hari ini adalah hasil saringan pra pembedahan dan pra prosedur di hospital.

Menyentuh mengenai kes import, katanya, kesemua 15 kes membabitkan warganegara Malaysia yang mana 12 daripadanya melibatkan individu yang baru pulang dari Yaman dan masing-masing satu kes melibatkan individu yang baru pulang dari Papua New Guinea, Ivory Coast dan United Kingdom.

“Semua kes import ini adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka telah diasingkan di pusat kuarantin selepas ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa Kuala Lumpur International Airport (KLIA), justeru tidak membawa risiko jangkitan kepada masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini,

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia setakat hari ini adalah 9,023 dengan kes aktif adalah 196. Kesemua kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 telah diasingkan dan diberi rawatan.- MalaysiaGazette