Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kluster Individu Dalam Siasatan (PUI) Sivagangga, Kedah mencetuskan kebimbangan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana bersifat super spreader atau merebak dengan cepat berbanding Kluster Bukit Tiram dan sembilan lagi kluster di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sedang melakukan kajian terperinci untuk melihat dan menentukan jika berdepan dengan situasi itu.

Katanya, kluster bersifat super spreader atau seorang individu yang menjangkiti ramai orang dilihat begitu agresif dalam Kluster PUI Sivagangga di Kulim, Kubang Pasu dan Padang Terap.

“Kluster Sivagangga hasil pemantauan KKM mendapati merebak begitu pantas sejak ia dikesan dan dilaporkan di Kedah berbanding Sarawak dan tempat lain.

“Kajian telah diperincikan sama ada kita sedang berdepan kluster Genome 614(G614) iaitu kluster super spreader yang dimaklumkan kepada KKM dari Mesir dan Pakistan.

“Berdasarkan pemantauan besar kemungkinan ia adalah super spreader dan dengan kajian mendalam kita akan kulturkan virus itu di makmal dan melihat kepada rujukan genom virus yang menjangkiti kluster PUI Sivagangga nanti untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru katanya Kluster Sivagangga dan kluster membabitkan Gereja Katolik Roman, Bukit Tiram juga telah dimasukkan dalam golongan kumpulan sasar untuk saringan yang turut akan dilaksanakan di negeri lain.

Menurut Noor Hisham, saringan sasar terhadap kedua-dua kumpulan itu tertumpu kepada mereka yang berkunjung ke kawasan berkenaan.

“Tetapi sekarang ini hanya mereka yang terdedah kepada kedai makan itu atau kes positif atau berada dalam lingkungan satu satu kilometer dari kedai itu.

“Tetapi kalau ada mereka yang disyaki terdedah dengan kes itu, maka kita akan menjalankan saringan Covid-19,” tegasnya lagi.

Menyentuh perkara kedua, katanya, perkembangan terkini mendapati Rnought 3.55 dengan RT atau masa tepat 1.36 direkodkan.

“Kebimbangan KKM adalah RT mencecah 1.6 yang berisiko meningkatkan kes secara mendadak. Namun alhamdulillah kita lihat dua hari lepas terkawal yang mana Rnought dengan RT jatuh kepada 0.58 dan semalam ialah pada paras 0.78bermakna masih terkawal.

“Peningkatan ini mungkin disebabkan oleh Kluster PUI Sivagangga,” ujar beliau.- MalaysiaGazette