Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap kepada media selepas membuat laporan polis mengenai isu berkenaan tular dilaman sosial tentang seorang individu yang tidak dikenali telah bercakap didalam satu klip video yang menghina Negara Malaysia, menghina agama Islam dan menghina institusi DiRaja ketika di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 6 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Satu laporan polis dibuat meminta Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat tindakan seorang lelaki yang tidak dikenali memaki hamun negara, institusi raja-raja Melayu serta agama Islami.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili 10 gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) berkata, tindakan individu terbabit menjatuhkan imej negara dan ia perlu dipandang serius.

Katanya, video berdurasi satu minit 37 saat yang diviralkan individu itu dalam laman media sosial Facebook, Twitter dan Youtube berisiko memberi persepsi tidak baik mengenai negara di mata dunia.

“Tindakan individu tidak dikenali itu memang kurang ajar dan biadap, bercakap di khalayak ramai di sebuah negara dan lokasi yang tidak dapat dipastikan.

“Kita masih tak tahu dia ini rakyat Malaysia ke atau siapa mahupun melakukan perbuatan itu di dalam negara atau luar negara.

“Perbuatannya tidak boleh dimaafkan dan laporan polis dibuat untuk mengesan dan menjejaki lokasi individu itu serta tangkap dan bawa pulang untuk dituduh di muka pengadilan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis.

Menurut Rani, PDRM harus bekerjasama dengan Interpol untuk menjejaki lelaki tersebut untuk dibawa pulang ke negara ini jika benar beliau merupakan rakyat Malaysia.

“Kita mahu kerakyatannya dilucutkan jika dia dikesan sebagai rakyat kita.

“Justeru, saya mahu polis siasat siapa dalang yang memainkan peranan sebagai pengecut di sebalik lelaki tersebut.

“Ini kerana berdasarkan video itu, dia juga rajin membaca satu teks yang dipegang yang mana mencetuskan keraguan, berkemungkinan ada pihak ketiga memainkan peranan di sebalik perbuatan tidak bermoral itu,” katanya.

Sementara itu, Rani memberi amaran kepada rakyat supaya tidak bersikap biadap dengan mengulangi memasang Jalur Gemilang secara terbalik.

Menurut beliau, hampir setiap tahun kes atau insiden Jalur Gemilang dipasang terbalik berlaku namun tindakan yang diambil pihak berkuasa tidak tegas.

“Rakyat buat beribu laporan polis pasal insiden bendera terbalik, orang terbalikkan bendera dan minta maaf alasan tidak sengaja, mabuk dan langgar orang minta maaf juga.

“Kenapa tidak tegas dengan hukuman seperti kompaun RM1,000 untuk mengingkar arahan Covid-19 tidak memakai pelitup muka serta gagal menjaga penjarakan sosial.

“Sebenarnya mereka sengaja terbalikkan bendera, itu yang benar. Sedihnya kerajaan ini lemah tak ambil tindakan tegas seperti Covid menerusi Akta 342. Cuba bertegas dengan hukuman ke atas pesalah terbalikkan bendera atau hina bendera, tiada siapa yang berani buat lagi,” tegasnya.

Beliau juga menasihati rakyat serta peniaga dan pemilik premis pasar raya besar menyemarakkan semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, kenderaan, premis bangunan masing-masing.

“Tak perlu malu-malu nak kibarkan Jalur Gemilang kita sempena sambutan ke-63 kali ini, hari-hari kaut keuntungan berlipat ganda tetapi bendera harga RM1.50 sen pun tak boleh beli, apa masalah kamu semua.

“Tengok lapangan terbang tak ada kibar Jalur Gemilang, di bangunan kerajaan, tak cukup lagi kibar Jalur Gemilang, tunjukkan kepada dunia ini bendera kita, identiti kita dengan bangga,” katanya. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan :

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast