KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini bertindak menolak permohonan ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang sebelum ini hendak memasukkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam saman mendiang penyiasat persendirian, P Balasubramaniam atau PI Bala.
Selain nama bekas Perdana Menteri dan isterinya itu, Deepak juga telah memohon untuk memasukan enam lagi nama sebagai pihak ketiga dalam kes saman difailkan oleh isteri PI Bala, A Santamil Selvi serta tiga orang anaknya pada 2017.
Menurut Pesuruhjaya Kehakiman, Quay Chew Soon, Deepak tidak berjaya membuktikan prima facie dalam permohonan yang cuba dibawanya malah tiada keterangan jelas dalam perkara itu.
Begitu pendedahan oleh peguam mewakili Najib dan Rosmah, David Matthews kepada pemberita sebentar tadi.
Kata Matthews, hakim juga berpandangan Deepak membuat pernyataan tidak konsisten dalam afidavit yang jelas bertentangan dengan penyataan permohonan ini.
Pada 23 Julai 2017, Santamil bersama tiga anaknya iaitu B Kishen, B Menaga dan B Reeshi selaku plaintif memfailkan saman bagi pihak mendiang dengan menamakan kesemua individu sebagai defendan.
PI Bala merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.
Bagaimanapun PI Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013 beberapa minggu setelah pulang dari India.
Dalam penyataan tuntutan, Santamil dan anaknya mendakwa mereka terpaksa hidup dalam buangan di India selama 56 bulan mulai 4 Julai 2008 selepas pendedahan Balasubramaniam pada akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan Altantuya.
Plaintif memohon ganti rugi berjumlah RM840,000 termasuk kos menyewa sebuah apartmen di Chennai, India, yuran sekolah dan kehilangan pendapatan sebagai guru tadika, pinjaman perumahan, kos pengangkutan, ganti rugi am, ganti rugi khas dan kos. – MalaysiaGazette