KUALA LUMPUR – Penduduk sekitar Napoh yang termasuk dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) masih bebas untuk keluar membeli barangan keperluan dan bekerja.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, larangan PKPD TEMCO tidak seketat pada awal PKPD dilaksanakan sebelum ini, yang mana mereka boleh keluar dari perkampungan itu setelah melalui beberapa proses seperti saringan Covid-19.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu, pelaksanaan PKPD TEMCO bermakna kedai menjual barangan asas, keperluan, restoran dan kedai runcit dibuka seperti biasa, termasuk penduduk di situ bebas keluar untuk membeli barangan kepeluan.
“Apabila dah lakukan saringan, mereka boleh keluar dari perkampunga itu. Ini bukan PKPD dahulu, sekarang mereka boleh keluar.
“Kalau PKPD dahulu, kerajaan larang penduduk keluar dan bekalan makanan akan dihantar. Sekarang (PKPD TEMCO), tidak timbul isu tidak ada bekalan makanan, sebab penduduk boleh keluar.
“Jika berlaku kekurangan barangan keperluan, saya akan maklumkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas laporan media hari ini mengenai penduduk sekitar Napoh, terutama yang berpendapatan rendah, berharap kerajaan menyalurkan bantuan makanan kerana mereka tidak dapat bekerja susulan pelaksanaan PKPD TEMCO di pekan itu.
Rata-rata mereka adalah penoreh getah dan petani, yang dikatakan akur dengan arahan TEMCO serta terpaksa menjalani kuarantin di rumah selepas dipakaikan gelang merah jambu.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan melaksanakan kempen Pembudayaan Norma Baharu yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin 8 Ogos ini di Kompleks Sukan Pagoh, Johor.
Menurut beliau, Perdana Menteri akan melancarkan logo dan tagline kempen itu serta Buku Pembudayaan Norma Baharu yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM). – MalaysiaGazette