Mandela Malakun

KUALA LUMPUR – Armada Sabah yakin kekuatan yang dimiliki oleh kesemua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) Plus jika digabungkan bakal menjadi satu ikatan yang ampuh menghadapi pihak lawan terutamanya Warisan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Timbalan Ketua Armadanya, Ceaser Mandela Malakun berharap agar pemimpin dan ahli akar umbi dalam PN terus memupuk keharmonian dalam kerjasama politik.

“Gandingan mantap Bersatu, UMNO, PBS, PBRS dan STAR dalam PN Plus mampu membina satu kerjasama politik yang kukuh untuk berdepan dengan parti lawan nanti pada PRN Sabah.

“Ini kerana kesemua parti memiliki kekuatan, keistimewaan dan kelebihan masing-masing yang boleh digembDeleng bersama untuk masa depan Sabah lebih gemilang.

“Jadi keharmonian antara ahli akar umbi dan pucuk pimpinan parti dalam PN Plus perlu diperkukuhkan supaya kita mampu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya dalam satu kenyataan media di Kota Kinabalu hari ini.

Mandela yang juga calon Naib Ketua Armada Nasional percaya perpaduan dan kerjasama positif mampu dicapai dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan tertinggi dalam parti komponen PN Plus menyelesaikan beberapa isu berbangkit sebelum ini.

“Individu-individu yang memimpin parti dalam PN Plus terdiri daripada mereka yang cukup berpengalaman dalam pentadbiran negeri serta parti, jadi saya yakin kesemua pucuk pimpinan ini dapat berbincang serta mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak demi rakyat Sabah.

“Manakala kita sebagai ahli akar umbi perlu terus memberi sokongan dan kepercayaan tak berbelah bahagi kepada para pemimpin kita dalam usaha memantapkan PN Plus di Sabah,” katanya.- MalaysiaGazette