Suspek yang dipercayai suami kepada seorang pensyarah yang dibunuh menggunakan tudung hingga mati dalam kejadian pada 29 Julai lalu dibawa ke mahkamah untuk perintah sambung reman di Mahkamah Majistret Sepang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 06 OGOS 2020

SEPANG – Reman suspek utama kes pembunuhan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang merupakan isterinya disambung selama enam hari lagi bermula esok.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman membenarkan suspek disambung reman selama enam sehingga 12 Ogos ini untuk melengkapkan siasatan kes.

Suspek yang juga seorang aktivitis Badan Bukan Kerajaan (NGO) politik dibawa ke Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Sepang oleh Pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang pada pukulĀ 9.15 pagi tadi.

Dalam kejadian 29 Julai lalu, suspek yang tidak bekerja didakwa membunuh isterinya Profesor Madya Maizatul Niza Othman, 40 di dalam sebuah kereta di Taman Mas Putra Perdana, Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Yusoff berkata, suspek berjaya ditahan polis pada 30 Julai lalu sebelum direman selama tujuh hari bermula 31 Julai lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ketika kejadian, suspek dipercayai marah kerana isterinya mahu memfailkan penceraian dan bertindak menjerut leher isterinya dengan menggunakan tudung yang dipakai mangsa sehingga mati di dalam kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih sebelum membawa mangsa dengan kenderaan tersebut menghala ke Tasik PKNS, Pinggiran Cyberjaya kira-kira jam 4.30 petang.

Suspek juga yang merupakan bapa kepada anak tunggal perempuan berusia 14 tahun dipercayai menjalin hubungan dengan seorang wanita yang berasal dari Terengganu.

Siasatan polis mendedahkan suspek dipercayai meletakkan mayat isterinya, di tempat duduk pemandu dan mengambil dompet serta telefon mangsa sebelum meninggalkannya dalam keadaan enjin dihidupkan.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan bersama anak perempuannya menempah perkhidmatan e-hailing, Grab untuk pergi ke lokasi terbabit pada Khamis jam 1.23 pagi sebelum menghubungi polis. – MalaysiaGazette

Bunuh isteri: Tempahan destinasi Grab ke lokasi kejadian kantoikan suspek

 

Kes jerut isteri: Curiga pasangan ada ‘kekasih gelap’ punca pensyarah minta cerai