BEIRUT – Kabinet Lubnan yang telah mengisytiharkan keadaan darurat selama dua minggu di Beirut berikutan letupan besar di pelabuhan yang menggegarkan bandar itu pada hari Selasa lalu menyerahkan kawalan keselamatan di ibu kota kepada tentera.
Kabinet mengarahkan tentera untuk mengenakan tahanan rumah kepada mana-mana individu yang terlibat dalam pentadbiran gudang yang mengandungi sejumlah besar bahan letupan sejak tahun 2014, menurut satu kenyataan yang dibacakan oleh menteri maklumat.
Ia juga bersetuju mengeluarkan peruntukan luar biasa 100 bilion pound Lebanon untuk menangani krisis tersebut.
Bahan kimia yang mudah meruap itu disyaki disimpan sejak enam tahun lalu telah menyebabkan letupan besar dan dahyat itu telah meratakan kawasan pelabuhan utama Lubnan.
Menurut dokumen, kastam telah memberi amaran berhubung penyimpanan bahan kimia tersebut.
Amonium nitrat – setara dengan 1.800 tan TNT – dikeluarkan dari kapal kargo Rhosus pada tahun 2014, menurut dua surat yang dikeluarkan oleh Ketua pengarah Kastam Lubnan.
Atas alasan yang tidak jelas, pekerja dermaga didakwa memunggah bahan kimia, yang boleh digunakan untuk membuat baja dan bahan letupan dan menyimpannya di dalam gudang tersebut.
Beberapa pekerja yang melakukan kimpalan pada pintu gudang tersebut, dikatakan menjadi punca kepada letupan tersebut, kata penyiar LBCI, memetik orang yang menghadiri taklimat Majlis Tertinggi Pertahanan.
Pihak berkuasa belum mengatakan apa yang menyebabkan ledakan meletup di Beirut hingga membunuh sekurang-kurangnya 100 orang dan mencederakan 4,000 orang.
Pegawai kastam didakwa telah meminta pihak kehakiman sekurang-kurangnya dua kali untuk mengeluarkan perintah agar bahan yang sangat mudah terbakar itu disita atau dieksport kembali, menurut surat daripada kastam.
Dalam salah satu surat, bertarikh 3 Mei 2016, Ketua Pengarah Kastam pada waktu itu, Shafik Merhe, memberi amaran tentang “bahaya yang melampau” akibat penyimpanan bahan kimia di gudang “dalam keadaan cuaca yang tidak sesuai”, dengan mengatakan ia menimbulkan risiko kepada kakitangan dan pelabuhan.
LBCI melaporkan Rhosus telah dijadualkan untuk berlayar semula dengan kargonya dari Beirut enam tahun lalu tetapi terkandas di pelabuhan tersebut disebabkan masalah mekanikal.
Perdana Menteri Hassan Diab pada hari Selasa menyifatkan penyimpanan 2,750 tan ammonium nitrat di pelabuhan itu sebagai “tidak dapat diterima” dan berjanji mereka yang bertanggungjawab perlu menanggung akibatnya”.
Bahan peledak kimia komersial yang banyak digunakan hampir sama kuatnya dengan dinamit.- MalaysiaGazette