Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diiringi Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri (dua kanan) beramah mesra bersama wakil duta ASEAN pada Sambutan Ulang Tahun Ke-53 Penubuhan ASEAN di Wisma Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 07 OGOS 2020.

PUTRAJAYA – Jemaah Menteri bersetuju untuk memberi bantuan kepada Lubnan yang dikejutkan dengan insiden letupan dahsyat di sebuah gudang di pelabuhan di ibu negara itu di Beirut, kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn berkata, keputusan itu diumumkan Perdana Menteri dan menyerahkan urusan bantuan itu kepada Wisma Putra.

“Kita telah buat hubungan langsung dengan perwakilan kita di sana.

“Lebih baik kita mendapatkan maklumat yang berada di ground zero, perwakilan kita di sana dan maklum balas daripada Gabenor Lubnan sendiri.

“Kita juga ada anggota tentera dan ini sedang diuruskan dan saya diminta memberi laporan kepada Perdana Menteri malam ini apa bentuk bantuan yang boleh disalurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Sambutan Hari ASEAN ke-53 di kementeriannya hari ini.

Hishammuddin dalam kenyataannya selepas insiden itu berlaku memaklumkan semua rakyat Malaysia di Lubnan dilaporkan selamat.

Beliau berkata, perkara itu disahkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Beirut dalam laporan awalnya.

Hishammuddin berkata, pihak kedutaan juga menasihati rakyat Malaysia yang tinggal di negara itu agar kekal berada di dalam rumah.

Letupan itu mencetuskan kemusnahan di seluruh bandar dan menyebabkan sekurang-kurangnya 70 orang maut dan lebih 3,000 orang cedera. – MalaysiaGazette