Orang ramai kelihatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul bersama rakan-rakan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seramai 180 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam.

Daripada jumlah itu 16 direman manakala 164 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 57,066 pemeriksaan semalam bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemantauan itu membabitkan sebanyak 2,301 pasukan pematuhan yang melibatkan 11,705 anggota membuat pemantauan di 3,489 pasar raya, 5,394 restoran serta 1,458 penjaja, 930 kilang, 3,550 bank dan 790 pejabat kerajaan.

Pemantauan juga membabitkan 1,375 terminal pengangkutan darat, 278 terminal pengangkutan air serta 123 terminal pengangkutan udara.

Dalam pada itu, polis turut berjaya menangkap tiga warga asing kerana kesalahan imigresen dalam Operasi Benteng.

Mengulas mengenai kuarantin wajib, Ismail memberitahu, sejak 24 Julai sehingga 7 Ogos 2020, seramai 7,364 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 30 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Selangor, N.Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis dan Kedah.

Mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.

Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19. – MalaysiaGazette