KUALA LUMPUR – DAP dan Pakatan Harapan sewajarnya menghormati institusi kehakiman seperti mana yang dibuat Barisan Nasional (BN).
Seandainya, Lim Guan Eng tidak bersalah, tegakkannya di mahkamah, tegas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
”Nak solidariti, silakan. Tiada siapa halang. Tetapi sepertimana BN menghormati institusi kehakiman, begitulah juga sewajarnya DAP dan Pakatan Harapan,” katanya sambil menempelak DAP.
Katanya, kalau mana-mana pemimpin BN yang ditahan, laju sahaja pemimpin DAP dan PH bersorak dan ringan mulut dengan menghukum ‘bersalah’.
”Bila parti dia, belum dengar dakwaan, belum bicara, senang-senang cakap tiada bukti. Senang‐senang tuduh pendakwaan politik,” katanya.
DAP dalam kenyataan di Facebooknya berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan Setiausaha Agungnya tanpa sebarang bukti kesalahan.
Katanya, pendakwaan politik dikenakan ke atas Guan Eng. – MalaysiaGazette
















