Diskriminasi kaum berlaku apabila tidak memahami prinsip ketiga, keempat dan kelima Rukun Negara dan menggunakan Perlembagaan Persekutuan hanya untuk agenda peribadi atau politik sendiri.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Inisiatif kerajaan yang mengesyorkan supaya pelajaran mengenai Rukun Negara dimasukkan ke dalam sistem pendidikan di sekolah merupakan satu langkah sangat praktikal.

Ini kerana, pelajaran itu mempunyai kandungan termasuk mengenai hal kontrak sosial, sejarah kemerdekaan negara, realiti masyarakat majmuk, kepentingan Bahasa Kebangsaan serta kedudukan raja berperlembagaan, kata Timbalan Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Pusat, Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi.

Beliau berkata, usaha-usaha kerajaan itu sejajar dengan suasana masyarakat majmuk dan tidak mustahil sikap saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat berbilang bangsa kembali menebal.

“Justeru, pelaksanaan sistem pendidikan kebangsaan amat penting bagi membentuk acuan perpaduan kaum dalam negara.

“Sekiranya rakyat tidak bersatu hati memartabatkan asas pendidikan negara, maka tidak mustahil satu hari nanti anak cucu kita tidak tenteram walaupun berpijak di tanah air sendiri dan jauh sekali hidup harmoni dalam masyarakat majmuk,” katanya menerusi kenyataan.

Khamis lalu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique memberitahu, pelajaran mengenai Rukun Negara akan dimasukkan ke dalam sistem pendidikan negara bermula dari tadika hingga ke peringkat tinggi.

Bagi tujuan itu katanya, sebuah jawatankuasa teknikal yang dianggotai oleh Ketua Setiausaha (KSU) Perpaduan Negara bersama-sama KSU Kementerian Komunikasi dan Multimedia, KSU Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta KSU Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diwujudkan.

Jawatankuasa teknikal itu katanya, adalah untuk meneroka cadangan dan melampias idea berhubung cadangan berkenaan. – MalaysiaGazette