Pemancing memasang umpan pada mata kail ketika tinjauan Lensa Malaysia Gazette di Kolam Pancing Seksyen 24, Shah Alam, Selangor.

PELABUHAN KLANG – Pengusaha bot, jurumudi bot dan pemancing digalak menjadi mata-mata bagi membantu pihak berkuasa memantau penyeludupan khususnya di laluan tikus perairan negara.

Demikian seruan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri dalam usaha menangani penyeludupan di sempadan.

Katanya, penyertaan orang awam dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan negara amat dialu-alukan kerana jenayah penyeludupan biasanya membabitkan rangkaian sindiket yang besar, sukar dikekang tanpa kerjasama semua pihak.

Malaysia memiliki persisiran pantai yang panjang iaitu kira-kira 4,800 kilometer, banyak tempat berupaya dibolosi dengan mudah.

“Jadi tidak hairanlah jika kita lihat banyak warga asing bertapak di wilayah ini, punca utamanya adalah mereka sudah bolos masuk dan isu itu tidak selesaikan pada peringkat awal.

“Sehubungan itu, kita amat berharap orang awam yang nampak perkara tidak sepatutnya boleh menghubungi terus pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat.

“Bagaimanapun kita sedang memikirkan kaedah bagaimana untuk orang awam ini menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa secara lebih strategik dan praktikal.

“Kita bukan sahaja bersama-sama mengekang jenayah penyeludupan, tetapi kita juga mengekang penularan pandemik Covid-19 yang dibawa warga asing atau diimport dari negara luar sebagaimana kluster Sivaganga,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Azmizam Zaman HuriBeliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Persediaan Mualim kurang 500 GT Domestik untuk 114 ahli Persatuan Bot dan Rekreasi Selangor (PBRS) di Wisma Pelaut di sini hari ini.

Kursus selama tiga hari bermula hari ini itu adalah julung kali diadakan bertujuan menggalakkan semua pengusaha bot, jurumudi bot dan pemancing supaya memiliki lesen.

Dalam pada itu, Pengerusi PBRS, Ahmad Ali memberitahu, menerusi kursus berkenaan ahli PBRS didedahkan ilmu pengetahuan untuk mengelakkan diri daripada sesat, kemalangan, pelanggaran atau karam di lautan dan yang paling utama adalah menjaga kebajikan ahli.

“Sebagai contoh di Pulau Angsa ada kawasan berbatu di tengah laut dan jika orang yang tidak biasa kawasan itu pastinya akan berlanggar dengan batu berkenaan.

“Berhubung seruan YB ADUN, halangan utama penguatkuasaan adalah tonto laut (pemberi maklumat kepada penjenayah), bukan sahaja tonto darat sahaja.

“Maklumat daripada ahli boleh membantu pihak berkuasa untuk memberikan keutamaan kawasan-kawasan panas untuk dironda.

“Pihak persatuan amat berharap agar kerajaan dapat membantu membekalkan kemudahan radio mudah alih kepada ahli atau setiap bot yang berdaftar bagi memudahkan laporan keadaan semasa terus kepada pihak berkuasa berkenaan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, polis Marin, tentera laut dan Jabatan Laut,” katanya.

Sementara itu, katanya selain itu, pengusaha bot ini boleh menaik taraf perkhidmatan mereka untuk membawa pelancong menikmati panaroma di beberapa pulau sekitar Kuala Selangor, dengan pematuhan syarat yang dikenakan oleh jabatan berkaitan.

“Ia boleh membuka satu lagi peluang pekerjaan di wilayah ini, bidang pelancongan di laut semakin popular ketika ini.

“Dengan lesen kurang 500 GT, ramai orang boleh jana pendapatan alternatif selepas berakhirnya pandemik Covid-19.