Nora Malikiaman menunjukkan surat PKNS Real Estate Sdn Bhd yang memberi rebat 30% kepada penyewa SACC.

KUALA LUMPUR –  Peniaga SACC Mall bersyukur mendapat rebat 30 peratus sewa selama enam bulan susulan pendedahan portal ini berhubung nasib peniaga yang kehilangan pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.

Pengerusi Badan Bertindak bagi peniaga SACC Mall, Nora Malikiaman berkata, pada persetujuan awal pihak pengurusan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) mahu beri rebat sewa 50 peratus selama setahun.

Namun keputusan terkini yang dimaklumkan adalah rebat sewa 30 peratus dari Jun hingga Disember tahun ini.

Katanya, PREC turut memberi rebat sewa bagi bulan April dan Mei serta tidak mengenakan faedah lewat bayar sepanjang tempoh PKP sejak Mac lalu.

“Tetapi peniaga dikenakan tiga syarat untuk melayakkan mereka menikmati rebat berkenaan iaitu mesti daftar SME, mesti menyertai platform e dagang Bazar Lokal dianjurkan PREC serta tiada sebarang tunggakan sewa lama sehingga Februari lalu.

“Pihak peniaga masih berharap pihak PREC memberi rebat sehingga 50 peratus dalam tempoh enam bulan ini iaitu bagi memberi peluang peniaga kembali stabil setelah lebih tiga bulan sifar pendapatan.

“Peniaga diberi satu surat pekeliling pihak PREC mengenai rebat berkenaan,” katanya

Sebelum ini, peniaga SACC Mall mendakwa mereka kehilangan pendapatan setelah kurangnya pengunjung di premis itu sejak beberapa tahun lalu dan klimaksnya ketika penutupan operasi selama tiga bulan akibat PKP.

Malah, lebih menekan peniaga dikenakan pelbagai denda tidak munasabah serta diberi surat merah dan diugut akan diambil tindakan jika tidak bayar sewa sejak PKP dalam tempoh seminggu.

Berikutan itu, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah meminta kerajaan Selangor memberi pelepasan sewa kepada peniaga di SACC Mall sekurang-kurangnya enam bulan sehingga peniaga stabil kembali. – MalaysiaGazette