UiTM Cawangan Melaka sekali lagi tampil kehadapan dalam misi kemanusiannya membantu masyarakat minoriti muslim di Kemboja.
Pandemik wabak Covid-19 tidak menghalang ACIS, UITM cawangan Melaka dengan kerjasama UHEI untuk menjalankan program khidmat masyarakat dan pengantarabangsaan rentas negara. Program kali kedua ini lebih tertumpu kepada usaha mengumpulkan sumbangan daripada masyarakat awam, kemudian disalurkan kepada masyarakat Islam yang terjejas akibat pandemik Covid-19 baru-baru ini di sekitar Kemboja.
Menurut pengarah program Jejak Kemboja 2020, Muaz Mohd Noor, program khidmat masyarakat ke Kemboja kali kedua ini memokuskan kepada tiga objektif sumbangan untuk menaik taraf Pusat Tahfiz Maulana Othman, yang juga merupakan sekolah angkat ACIS dan UHEI UiTM Melaka. Kedua, sumbangan kepada masyarakat muslim yang memerlukan di Kemboja sempena Ramadhan dan Syawal semasa tempoh Pandemik Covid-19 baru-baru ini.
Sumbangan lebih RM20,000.00 dalam bentuk wang tunai, barangan makanan dan keperluan harian telah diberikan kepada asnaf miskin di beberapa buah kampung. Antara kampung yang terlibat dalam misi bantuan kali ini ialah Kampung Preak Saman Chlon, Kratie, Kampung Dinrei Pong, Kratie, Kampung Cho (negeri Tebong Khmum), Kampung Ratanakiri, Kampung Krosah Tmey dan lain-lain.
Selain sumbangan dalam bentuk kewangan dan barangan asas, pihak ACIS juga berjaya membina sebuah rumah wakaf untuk kegunaan saudara baru di wilayah Kratie. Rumah wakaf ini didirikan hasil sumbangan orang ramai.

Sementara itu, menurut penasihat II Jejak Kemboja 2020, Prof. Madya Dr. S. Salahudin Suyurno, sebagaimana di Malaysia dan di seluruh dunia, program pembahagian sumbangan berbentuk barangan asas dan lain-lain ini dibuat dalam keadaan mematuhi SOP negara berkenaan, termasuk penjarakan sosial dan sebagainya. Menurut wakil di sana, masyarakat minoriti muslim yang miskin begitu terkesan dengan wabak COVID-19 apabila hilang mata pencarian, selain mengharapkan bantuan luar untuk terus meneruskan kehidupan.
Selain itu, objektif ketiga projek ini adalah untuk membuka peluang kepada masyarakat Malaysia untuk melaksanakan ibadah korban Aidiladha di Kemboja. Sebanyak 15 ekor lembu berjaya dikorbankan semasa raya Aidiladha baru-baru ini. Semua daging korban ini diserahkan kepada saudara muslim yang memerlukan, termasuk di wilayah di sempadan Laos.
Pada Disember tahun lalu, pihak ACIS UiTM Melaka buat julung kalinya menganjurkan misi kemanusiaan di Kemboja, yang melibatkan lebih separuh kakitangan mereka ke Kemboja. Jumlah kutipan sumbangan yang berjaya dikumpul dan diterima dari sumbangan orang ramai melebihi jumlah RM55,000.00. Dengan kerjasama pelbagai NGO termasuk pasukan perubatan Hospital Terengganu, mereka Berjaya menyiapkan pembinaan 33 unit telaga dan 4 unit tempat wuduk, selain menganjurkan program khatan perdana, sumbangan beras dan kitab agama dan lain-lain. – MalaysiaGazette















