Kelihatan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid- 19 yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dengan memakai pelitup mulut dan hidung di tempat awam semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 01 OGOS 2020

KUALA LUMPUR – Seramai 178 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setakat semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu lapan telah direman manakala 169 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Dalam pada itu, 62,126 pemeriksaan telah dibuat semalam oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
(PKPP).

“Sebanyak 3,277 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 14,026 anggota telah membuat pemantauan di 3,945 pasar raya, 5,891 restoran serta 1,521 penjaja, 125 kilang, 3,580 bank dan 694 pejabat kerajaan.

“Juga 1,138 terminal pengangkutan darat, 212 terminal pengangkutan air serta 99 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan,” kata Ismail dalam kenyataan hariannya, hari ini.

Dalam pada itu, PDRM telah berjaya menangkap seorang warganegara asing kerana kesalahan imigresen.

Ia selepas 65 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 26,794 kenderaan bagi mengekang kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

Menteri Pertahanan itu berkata, seramai 8,011 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua telah ditempatkan di 31 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di 10 negeri termasuk Kuala Lumpur.

“Mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, UK, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis & Australia.

“Daripada jumlah itu, seramai 20 individu telah dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19,” kata Ismail sambil menambah ia direkodkan sejak 24 Julai sehingga semalam. – MalaysiaGazette