Mohd Asri Hamid/Foto Malakat Tribune

CYBERJAYA – Seorang peniaga burger yang videonya tular dengan dakwaan bahawa terdapat aktiviti perjudian dan perniagaan haram di Sungai Buloh kesal apabila dirinya pula dipersalahkan oleh pihak berkuasa susulan pendedahan panas itu.

Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd. Asri Hamid berkata, sepatutnya selepas kegiatan haram itu dibongkar, pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya tetapi sebaliknya pula berlaku.

“Baru sebentar tadi kita dengar ketua polis Sungai Buloh dalam sidang akhbarnya bahawa polis membuat laporan terhadap saya dengan menyatakan saya membuat tohmahan.

“Sebenarnya ini bukan tohmahan tapi cerita betul, sepatutnya pihak polis hubungi saya ucap terima kasih dan hantar bunga sebab saya beri maklumat, tetapi ia tidak jadi begitu. Benda ini bukan baru, sudah lama isu mesin judi ini berlaku.

“Semua orang tahu karakter kedai mesin judi ini macam mana, bagaimana pula polis tidak tahu. Bukan ada setakat tiga atau empat kedai judi sahaja tetap banyak lagi. Ini baru di Bandar Baru Sungai Buloh, belum di tempat lain lagi,” katanya secara eksklusif kepada Malakat Tribune ketika ditemui hari ini.

Semalam tular satu video oleh seorang lelaki menerusi sebuah laman di Facebook yang mendakwa terdapat premis perjudian dan aktiviti haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.

Lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedangkan, beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Dalam pada itu, Mohd. Asri berkata, aduannya berhubung isu judi haram bukan tidak pernah dibuat, malah beliau pernah membuat laporan sehingga ke Bukit Aman tetapi tindakan susulan diambil sangat mengecewakan.

“Masa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kedai-kedai judi ini masih beroperasi sampai pukul 2 hingga 3 pagi, saya ada bukti dan kemudian saya buat aduan pada Bukit Aman dan mereka minta saya pergi ke bahagian perjudian. Kemudia saya bagi video dan sebagainya. Maksudnya saya sudah ke peringkat tertinggi.

“Tapi apa jadi akhirnya? Kedai ini hanya ditutup dua hari, lepas itu buka balik. Saya nak mengadu pada siapa lagi? Kemudian saya pergi pula ke bahagian integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu pihak yang paling tinggi boleh membantu kita, saya buat laporan dan hantar video.

“Tahu apa yang berlaku selepas itu? Selepas itu pekerja saya dipanggil oleh seorang tauke kedai judi dan bertanya kenapa awak punya bos ‘complain’ tentang mereka. Persoalannya, macam mana tauke ini tahu,” ujarnya.

Mohd. Asri berkata, isu tersebut tidak tamat begitu sahaja sebaliknya beliau diugut secara tidak langsung apabila tauke judi berkenaan menambah dua lagi kedai judi dan salah satu kedai itu terletak betul-betul di sebelah kedai miliknya.

“Tindakan ini seolah-olah mencabar saya, tetapi apa boleh saya buat,” katanya dengan nada kecewa.

Mengulas mengenai dakwaan MBSA bahawa tindakan menyita kedainya diambil selepas arahan diberikan lebih awal sebelum ini, Mohd. Asri berkata, perkara tersebut bukan isu utama sebaliknya mengapa tindakan sama tidak diambil pada kedai lain terutamanya milik warga asing.

“Saya sebenarnya tidak kecil hati sebab sepanjang 20 tahun meniaga burger, saya pernah lalui perkara ini banyak kali cuma kali ini berlaku ketika PKP yang mana kita semua susah dan hanya mahu mencari sedikit rezeki.

“Ketika itu saya hairan, kedai milik warga asing yang terletak 50 meter dari kedai saya tidak diambil tindakan sedangkan mereka memasang khemah kekal dan bersimen, malah mereka juga menjual rokok seludup.

“Semua orang tahu benda ini tapi kenapa tiada tindakan diambil? Dengan kami mereka datang macam samseng siap jerkah tapi kedai milik Acheh dan kedai judi tidak diambil tindakan langsung,” katanya.-

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

8 Komen

  1. aku pun rasa mcm tu la shake… En Mohd Asri patut terus je ke SPRM sebab ini dah melibatkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah di peringkat IPD Sg Buluh… seolah-olah seluruh anggota IPD Sg Buluh dari ketua polis IPD sampai lah kepada yg jaga pondok kawalan depan pintu masuk IPD Sg Buluh… sungguh mengerikan jika ini benar benar berlaku…

  2. Harapkan pagar, pagar makan dedak.. mcm filem Tamil la pulak. Payah nak menang kecuali hero sanggup mati kikiki

  3. kepada siapa lagi nak mengadu…semuga kata2 penafian memakan diri..jgn buat main2 weii.. Tuhan tengok siapa yang jujur! Dan Tuhan Tahu.. Maha Tahu.. Takut lidah kelu..

  4. ipd sg buloh memang cekodok dari dulu itu la pasal moto curi ke kes samun ke pecah rumah ke aku takde ngadu kt situ takde guna nak kena suap baru jalan puih

  5. Kata Mahathir melayu pemalas dan miskin.
    Kata Mahathir cina rajin serta kaya raya
    Nasib penjual burger melayu ni bukan pemalas
    Belalang belalang nasib kita belalang.

  6. Syabas saudara Mohd Asri. Berlembut tapi menegak keadilan. Sesiapa yang mengkianat jawablah nanti depan Allah. Kalau betul2 tak percaya kepada yang maha esa buang je nama islam.

  7. Syabas abg berger jangan takut..kita sebagai warganegara ada hak untuk bersuara untuk keadilan..penyalahgunaan kuasa dan rasuah dikalangan penjawat awam misti didedahkan agar rakyat tahu..

Comments are closed.