Persatuan Bola Sepak Selangor

KUALA LUMPUR – Bagi membantu meringankan kos rawatan bekas pemain kebangsaan era 70-an, Mohd Shah Alias Norbit, beberapa bekas pemain Selangor dan syarikat KDEB Waste Management Sdn Bhd mengadakan satu perlawanan amal di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya, semalam.

Jurucakap Unit Kebajikan Persatuan Bola Sepak Selangor Zulkifli Mohamed berkata, perlawanan sedemikian merupakan antara usaha mereka membantu mengurangkan kos rawatan penyakit angin ahmar serta kencing manis yang dihidapi Mohd Shah Alias sejak beberapa tahun lepas.

Perlawanan berkenaan berakhir dengan keputusan seri 2-2.

“Kita berharap agar lebih banyak lagi syarikat koporat tampil ke hadapan bersama kita dalam meneruskan usaha murni ini sebagai satu daripada usaha menghargai jasa bekas pemain negeri yang suatu masa dahulu pernah mewarnai dan menyumbang kepada sukan bola sepak tanah air,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Zulkifli memaklumkan perlawanan amal berkenaan akan diteruskan dalam tempoh terdekat melibatkan bekas pemain Selangor dan Terengganu pada 15 Ogos ini di Kuala Terengganu dan ia diadakan bertujuan mengutip dana bagi membantu dua bekas pemain Terengganu iaitu Mohd Fadali Jalil dan Rosli Ishak yang kini terlantar sakit.

Mohd Fadali, 53, yang beraksi di posisi pertahanan, dilaporkan terlantar kerana masalah saraf dan jangkitan kuman akibat kencing manis manakala Rosli, 59, pula menghidap penyakit angin ahmar.- BERNAMA