Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) pengecaman wajah di kedai serbaneka mampu membantu polis mengesan dan menangkap penjenayah dengan pantas, kata Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, melalui kamera itu, wajah penjenayah dapat dirakam jelas bagi mengesan identiti mereka.

“Kegiatan jenayah sering berlaku di kedai serbaneka terutama yang beroperasi 24 jam (sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan-PKP) melibatkan samun dan curi.

“Polis amat mengalu-alukan pemasangan CCTV pengecaman wajah di setiap kedai kerana kejadian jenayah boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kamera Rakaman Litar Tertutup (CCTV) Pengecaman Wajah di KK Mart, Taman Desa Petaling di sini, hari ini.

Beliau berkata, penggunaan CCTV pengecaman wajah itu juga boleh membantu polis mengesan individu yang dilaporkan hilang.

“Orang hilang ini mampu dikesan sekiranya dia memasuki kedai serbaneka yang mempunyai CCTV ini melalui gambar yang diperoleh daripada ahli keluarga individu hilang,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan menambah sebanyak 81 kes samun melibatkan kedai serbaneka direkodkan bagi tempoh Januari hingga Julai tahun lepas berbanding hanya 44 kes bagi tempoh sama tahun ini.

Beliau berkata, pengurangan kes samun pada tahun ini berkemungkinan atas sebab pelaksanaan PKP sejak Mac lepas.

“Sungguhpun begitu, itu tidak bermaksud kegiatan samun tidak berlaku. Cuma ianya berkurangan,” katanya.

Sementara itu,  Pengerusi Eksekutif Kumpulan Syarikat KK, Datuk Seri Dr KK Chai berkata, 100 cawangan KK Super Mart telah dilengkapi dengan CCTV pengecaman wajah di seluruh negara dengan kos dianggarkan bernilai RM800,000.

Katanya, pemasangan CCTV pengecaman wajah di cawangan lain rangkaian perniagaan yang mempunyai lebih 450 cawangan itu akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga akhir tahun ini.

Beliau berkata, pemasangan CCTV itu mampu membantu pihak polis mengesan penjenayah di dalam kedai serbaneka selain boleh melindungi keselamatan orang awam. – Bernama