Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Hishammuddin Hussein, sekali lagi mengaku salah dan meminta maaf kepada semua pihak kerana perbuatannya menghisap vape di dalam Dewan Rakyat, minggu lalu.

Menteri Luar itu menyesali perbuatan dan menjelaskan sudah membayar kompaun selepas didapati bersalah kerana menghisap ‘vape’ dalam Dewan Rakyat.

“Saya sudah nyatakan apa yang salah tetap salah. Saya sudah akui bahawa saya salah dan saya sudah minta maaf.

“Berkaitan pasal denda, saya sudah pun dikompaun dan saya sudah pun bayar fine (denda) yang diturunkan.

“Kalau Kluang masih nak mainkan politik di dewan, banyak kerja lagi untuk kita bincangkan di sini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Isu berkenaan permohonan maaf itu pada mulanya dibangkitkan Ahli Parlimen (Kluang-DAP), Wong Shu Qi menerusi Peraturan Mesyuarat 41(d) yang menggariskan bahawa ahli Dewan Rakyat tidak dibenarkan merokok di dalam kawasan Parlimen.

Shu Qi membangkitkan perkara itu ketika mencelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yang menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong.

“Apa yang nampak di luar adalah kerajaan ini wujudkan dua darjat kerana rakyat marhaen di luar didenda dan diambil tindakan keras, tetapi YB (Yang Berhormat) di sini tidak didenda atau diambil tindakan keras.

“Saya bangkitkan kerana satu permohonan maaf secara rasmi perlu dibuat dalam dewan ini,” kata Shu Qi.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mengendalikan isu itu berterima kasih kepada Shu Qi dan mengesahkan permohonan maaf daripada Ahli Parlimen Sembrong. – MalaysiaGazette