Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Mohd Azlan Shah Mohd Arshad serta yang lain menunjukkan kertas poster atas sokngan penuh kepada bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr. Mahathir Mohamad pada sidang media di Pusat Perniagaan Worldwide, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 10 OGOS 2020

SHAH ALAM – Seramai tiga ahli Jawatankuasa Bahagian dan lima ketua Cawangan Bersatu Shah Alam hari ini mengumumkan keluar parti dan menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, berkuat kuasa serta-merta.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Shah Alam, Mohd Azlan Shah Mohd Arshad berkata, tindakan itu dilakukan tanpa sebarang paksaan mana-mana pihak dan mereka berbuat demikian dengan sukarela.

Menurut Mohd Azlan Shah, langkah itu diambil susulan Bersatu didakwa sudah tidak berpaksi kepada perjuangan asal iaitu memerangi rasuah, salah guna kuasa, dan kleptokrasi.

“Perkara itu menyebabkan kami keluar daripada parti ini. Surat peletakan jawatan kami akan dihantar secara rasmi kepada Setiausaha Agung, Insya-Allah selewat-lewatnya kalau tidak hari ini, esok.

“Di mana kami mengikut amat Tun Dr Mahathir, kita masuk secara baik, kita keluar juga secara baik. Kami juga akan mengerakkan jentera untuk wadah parti baharu Tun nanti,” katanya pada sidang media di Pusat Perniagaan Worldwide, di sini, hari ini.

Selain lapan pemimpin utama, turut mengumumkan keluar parti ialah Pengerusi Tetap Bahagian Shah Alam, Ahli Jawatankuasa Bahagian Shah Alam, Ahli Jawatankuasa Cawangan Shah Alam, Ketua Armada Cawangan Shah Alam, Ahli Jawatankuasa Armada Cawangan Shah Alam, Ketua Srikandi Cawangan Shah Alam, Ahli Jawatankuasa Srikandi Cawangan Shah Alam serta akar umbi Shah Alam.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan ada lebih ramai pemimpin dan ahli akar umbi akan melakukan tindakan sama termasuk menyertai perjuangan Dr Mahathir dalam parti baharu yang bakal diumumkan kelak.

“Ini adalah gelombang pertama dan kita yakin ramai di luar sana yakin dengan perjuangan Tun dan akan keluar parti sedikit masa lagi.

“Bersama kita keluar parti ialah lima Ketua Cawangan, saya sendiri Ketua Cawangan Seksyen 24, Ketua Cawangan Bersatu Setia Alam, Ketua Cawangan Bersatu Bukit Subang, Ketua Cawangan Bersatu Bukit Jelutong dan Ketua Cawangan Bersatu Seksyen 9.

“Kami akan terus berkhidmat untuk rakyat bersama-sama ahli-ahli akar umbi yang memilih untuk turut sama keluar dengan memberi tumpuan kepada perkara berbangkit bersama rakyat terutamanya memupuk dan membimbing anak muda

“Kami akan didokong oleh anak muda yang telah beri komitmen kepada kami nanti. Biarpun pihak kami akan meneruskan perjuangan menggunakan ruang berbeza,” katanya.

Beliau juga menzahirkan untuk tidak menimbulkan perselisihan dan pertelingkahan selepas mereka bertindak keluar parti hari ini.

“Kami keluar parti adalah kerana kita rasakan tidak boleh menerima lagi perjuangan parti lama kami dan tidak perlu kami bergaduh dan kita akan berada dalam wadah perjuangan baharu,” katanya lagi.  – MalaysiaGazette