Subahan Kamal

KUALA LUMPUR – Persekutuan Hoki Malaysia (MHC) akan mengadakan satu lagi sesi temu ramah bersama empat calon terakhir bagi jawatan jurulatih hoki wanita kebangsaan, sebelum menentukan calon terbaik untuk jawatan itu.

Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata, pada kali ini panel MHC akan disertai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Ketua Pengawai Eksekutif Institut Sukan Negara Ahmad Faedzal Md Ramli, untuk sesi penilaian terakhir.

“Dua calon tempatan dan dua calon dari luar negara akan ditemu ramah secepat mungkin (menerusi sidang video), bagi membuat penilaian terakhir jawatan jurulatih itu, sebelum minggu ketiga bulan ini supaya yang terpilih itu nanti boleh mulakan kerjanya pada September.

“Kami juga dalam proses melantik pengarah teknikal yang baru untuk skuad projek Sukan Asia 2026, supaya beliau akan menyertai panel pemilihan tersebut,” katanya pada sidang media selepas pengumuman penyambungan kerjasama tajaan bersama QNET di Kinrara Resort di sini hari ini.

Difahamkan calon dari Belanda dan England merupakan antara empat calon yang disenarai pendek untuk jawatan jurulatih pasukan wanita, selepas Muhammad Dharma Raj Abdullah membuat keputusan untuk tidak memohon semula untuk jawatan itu.

Sementara itu, Subahan berkata, situasi pandemik COVID-19 di Malaysia kini terkawal dan kesemua prosedur operasi standard (SOP) diikuti orang ramai dan pemain, bagi mengurangkan risiko jangkitan, selepas lima pemain dalam pasukan kebangsaan India disahkan positif virus tersebut.

Subahan juga turut mengumumkan Presiden Persatuan Hoki (PH) Perak Mohd Sayuti Samat, Presiden PH Kedah Mohd Asmirul dan wakil dari Tenaga Nasional, akan dilantik sebagai anggota jawatankuasa eksekutif MHC, manakala anggota lain akan dimumkan kemudian.

Sementara itu Subahan berkata, QNET, sebuah entiti perniagaan berasaskan jualan secara langsung e-dagang, akan memberikan tajaan kira-kira RM1.5 juta bagi tempoh tiga tahun dari 2021 ke 2023.

“Ini satu yang amat merangsangkan… pada ketika pandemik, tidak ramai yang akan mendapat tajaan. Kami (MHC) mempunyai banyak perbelanjaan seperti menganjurkan liga, pembangunan dan kejohanan luar negara, kami akan gunakan wang itu secara terbaik,” katanya selepas mengesahkan satu lagi tajaan kit RM1.5 juta dari PUMA, bulan lepas.

Pengarah Urusan QI Group Kuna Senathirajah berkata, kumpulan itu menerusi anak syarikatnya QNET, gembira untuk menerus sokongan kepada MHC dan PH Selangor, dan menegaskan mereka tidak bercadang untuk menubuhkan sebuah pasukan hoki pada masa ini.

QNET juga merupakan penaja pasukan Liga Premier Inggeris Manchester City dan pemilik pasukan Kelab Bolasepak Petaling Jaya (PJ City FC), untuk Liga Malaysia, selain menjadi rakan penaja MHC sejak 2015.- BERNAMA