KUALA LUMPUR – Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) menjangkakan peruntukan RM35 juta yang disalurkan kerajaan kepada industri kandungan kreatif digital tempatan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) akan menjadi pemacu pertumbuhan berterusan sektor berkenaan.

Ia berkata, peruntukan itu, dikenali sebagai Dana Kandungan Digital PENJANA, akan memperluaskan dua program kandungan digital sedia ada yang dikendalikan oleh MDEC.

“Ia akan digunakan untuk memperkasakan dua inisiatif khusus iaitu Cabaran Pencipta Kandungan Digital PENJANA (PENJANA DC3+) dan Geran Kandungan Digital PENJANA (DCG),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia menjelaskan, PENJANA DC3+ direka bagi membolehkan bakat tempatan mengasah kreativiti dan kemampuan mereka dalam mengembangkan idea kandungan baharu manakala PENJANA DCG diwujudkan bagi membantu penggiat industri kreatif tempatan menyesuaikan diri dengan normal baharu di celah-celah pandemik global yang belum berakhir.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata pengenalan dana ini tepat pada masanya kerana dapat membantu meningkatkan peluang perniagaan dan memperluas akses pasaran dalam jangka masa pendek.

“Ia juga dapat membantu industri kreatif digital Malaysia sepanjang tempoh yang mencabar ini,” kata beliau.

Permohonan untuk PENJANA DC3 + kini telah dibuka sehingga 31 Ogos, 2020 manakala PENJANA DCG telahpun menerima permohonan sejak 1 Ogos.

Maklumat lanjut mengenai program-program ini boleh diperoleh di laman sesawang MDEC. – MalaysiaGazette