KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan kerajaan negeri kecuali Sarawak agar tidak mendahului kerajaan Persekutuan dalam mengumumkan sesuatu peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) itu menegaskan, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang digunapakai kerajaan dalam pelaksanaan PKP tidak boleh dilanggar oleh mana-mana kerajaan negeri.
“Ada sedikit kekeliruan berhubung bidang kuasa kerajaan negeri. Ada yang mengumumkan PKP Diperketatkan mendahului (pengumuman) kerajaan Persekutuan.
“Saya nak ingatkan mereka bahawa Akta 342 ini merupakan akta kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri tidak ada akta sendiri, kecuali Sarawak.
“Oleh itu, setiap peraturan hanya boleh dikeluarkan oleh kerajaan persekutuan berdasarkan Akta 342 ini,” katanya pada sidang media khas Covid-19 hari ini.
Ismail Sabri berkata, sekiranya sesebuah kerajaan negeri mengumumkan sesuatu peraturan tanpa persetujuan kerajaan Persekutuan, segala tindakan pasukan keselamatan tidak boleh dikuatkuasakan.
Katanya, polis di negeri berkenaan tidak boleh menangkap dan mengeluarkan hukuman kompaun kepada orang ramai kerana penguatkuasaannya bukan dari kerajaan persekutuan.
Ismail Sabri juga tidak bersetuju dengan pengumuman oleh kerajaan Sabah baru-baru ini, yang mengatakan perhimpunan lebih 150 orang tidak dibenarkan.
“Larangan ini sebenarnya menyalahi peraturan Akta 342, kerana kerajaan persekutuan telah menetapkan satu-satu perhimpunan itu tidak lebih 250 orang.
“Ini jelas mengelirukan dan saya berharap selepas ini, semua peraturan mesti dikeluarkan satu sumber melalui kerajaan pusat di bawah Akta 342. Harap kes seperti ini tidak berlaku lagi,” katanya. – MalaysiaGazette