Wan Junaidi Tuanku Jaafar

KUALA LUMPUR – Tekun Nasional menyalurkan peruntukan sebanyak RM28 juta kepada 3,900 usahawan mikro menerusi Skim Pemulihan Perniagaan TEKUN (TBRS) setakat ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, nilai itu adalah daripada tambahan peruntukan RM100 juta di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi membantu perniagaan usahawan mikro yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Sebelum ini kerajaan turut memperuntukkan RM200 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) kepada Tekun Nasional bagi Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro Tekun (CBRM).

“Kesemua RM200 juta itu telah disalurkan kepada usahawan yang terjejas. Justeru kementerian komited untuk terus membantu lebih ramai usahawan lagi,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Menara Kembar Bank Rakyat di sini.

Skim TBRS merupakan pembiayaan mikro yang ditawarkan kepada perusahaan mikro yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Pembiayaan yang ditawarkan adalah sehingga RM10,000 pada kadar faedah 3.5 peratus setahun.

Dalam perkembangan lain, Wan Junaidi berkata kementerian itu sedang mengkaji untuk melantik mentor bagi membimbing usahawan selain mencari pempengaruh media sosial yang boleh membantu melariskan jualan mereka.

“Kita sedang mengkaji bagaimana mentor dan pempengaruh (dapat disediakan) dalam pakej bantuan kewangan yang ditawarkan oleh agensi-agensi kementerian ini.

“Jadi, sekiranya usahawan memerlukan pempengaruh untuk melariskan jualan, mereka tidak perlu tercari-cari lagi kerana di sini ada sistem yang boleh membantu,” katanya.

Dalam perhimpunan yang julung kali diadakan itu, Wan Junaidi turut melancarkan sambutan Bulan Kebangsaan peringkat kementerian di samping melafazkan ikrar bebas rasuah. – MalaysiaGazette