Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan terus dibantu kerajaan untuk memastikan kelangsungan perniagaan dalam menguruskan aliran tunai.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Shariah (MPS) Bank Negara Malaysia telah memutuskan tatacara berhubung penstrukturan semula pembiayaan secara Islam sewaktu krisis Covid-19 selepas mengadakan mesyuarat khas ke-30 pada 14 Julai lalu.

Tatacara itu adalah seperti berikut:

Penstrukturan semula pembiayaan secara Islam berasaskan kontrak Syariah asal

Penstrukturan semula pembiayaan secara Islam berasaskan kontrak Syariah asal boleh dilakukan dengan memeterai perjanjian tambahan yang dirujuk silang dengan terma dan syarat perjanjian asal dan tidak memerlukan perjanjian baharu. Ini bertujuan untuk mengurangkan kos dan kesulitan kepada pelanggan, serta beban operasi bagi institusi kewangan Islam (IKI).

Perjanjian baharu diperlukan sekiranya penstrukturan semula melibatkan penggunaan kontrak Syariah yang berbeza, contohnya pembiayaan asal perumahan berasaskan musyarakah mutanaqisah (perkongsian berkurangan) distruktur semula menggunakan ijarah; atau penggabungan beberapa pembiayaan berasaskan pelbagai kontrak Syariah menjadi satu kontrak Syariah baharu sebagai sebahagian daripada rasionalisasi hutang.

Penstrukturan semula pembiayaan secara Islam kepada pinjaman konvensional atau sebaliknya

IKI dibenarkan untuk menstruktur semula pinjaman konvensional kepada pembiayaan secara Islam. Bagaimanapun, penstrukturan semula pembiayaan secara Islam kepada pinjaman konvensional adalah tidak dibenarkan. Namun, sekiranya pelanggan tetap memilih untuk menstruktur semula pembiayaan secara Islam mereka kepada pinjaman konvensional, ia adalah prerogatif dan pilihan pelanggan untuk berbuat demikian. Dalam hal ini, pilihan pelanggan tersebut adalah di luar tanggungjawab dan kawalan IKI.

Keuntungan berkompaun bagi penstrukturan semula

IKI tidak dibenarkan untuk memasuk dan mengambilkira keuntungan terakru bagi pembiayaan asal sebagai amaun prinsipal yang baharu bagi penstrukturan semula.

Amalan sedemikian bertujuan mengelakkan berlakunya keuntungan berganda ke atas hutang (keuntungan berkompaun).

Oleh itu, dalam melaksanakan penstrukturan semula: amaun prinsipal baharu bagi pembiayaan yang distruktur semula adalah bersamaan dengan baki prinsipal pembiayaan asal sekiranya tiada pembiayaan tambahan.

IKI dibenar mengenakan kadar keuntungan baharu bagi amaun prinsipal baharu tersebut dan jumlah keuntungan terakru dan caj lewat bayar (jika terpakai) bagi pembiayaan asal boleh dibawa ke hadapan dan ditambah ke dalam obligasi keseluruhan pembayaran hutang tetapi jumlah ini tidak boleh diambilkira dalam pengiraan keuntungan yang baharu.

Tatacara ini dimuatkan dalam laman sesawang Bank Pusat tersebut. – MalaysiaGazette