Walaupun kes jangkitan COVID-19 tinggi dan aktiviti hiburan masih dilarang, ada individu mengambil risiko mengunjungi sebuah pusat hiburan karaoke di Jalan Ampang untuk berhibur, sekali gus melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Masih ramai individu ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan oleh kerajaan, apabila setiap hari jumlah yang ditangkap melebihi angka 200 orang.

Ini diakui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, apabila laporan yang diterimanya menunjukkan individu yang ditahan itu melakukan kesalahan seperti mengunjungi pub atau kelab malam dan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Ismail Sabri Yaakob

Katanya, dalam Operasi Task Force semalam, seramai 230 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar SOP PKPP.

Dari jumlah itu, jelas beliau, 215 individu dikenakan kompaun, 13 direman di mahkamah dan dua lagi dijamin.

Antara kesalahan itu ialah aktiviti dalam pub atau kelab malam seramai 22 orang, aktiviti yang tidak mengikuti SOP (49), premis beroperasi lebih masa (satu), tidak memakai pelitup muka (26 orang).

Manakala aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial seramai 128 orang dan melanggar perintah kuarantin dua individu serta gagal melunaskan kos kuarantin dua orang.

Mengenai Operasi Benteng kawalan sempadan negara pula, Ismail Sabri menjelaskan, dua warga asing yang masuk secara haram telah ditahan di sekatan jalan raya.

“Dua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan atas kesalahan Imigresen.

“Semalam, polis telah membuat sebanyak 65 sekatan jalan raya di seluruh negara dan memeriksa 27,200 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong tikus sempadan negara.

“Kita komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutama di lorong tikus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Operasi Benteng yang dimulakan sejak 1 Mei itu melibatkan anggota polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Tugas mereka ialah mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu dari dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Mengenai statistik Operasi Benteng sepanjang tempoh 1 Mei sehingga semalam, Ismail berkata, rekod menunjukkan seramai 2,931 Pati, 625 tekong dan 167 penyeludup telah ditahan.

Kata beliau, turut ditahan ialah pengangkutan yang digunakan, iaitu 122 bot dan 303 kenderaan yang terlibat dalam percubaan menceroboh sempadan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast