MELAKA – Tiga sahabat didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mencuri 19 barangan termasuk 10 peket susu formula kanak-kanak, coklat, sosej, biskut dan ayam goreng di sebuah pasar raya, minggu lalu.
Tertuduh, Hamzah Duraman, 37, Muhammad Heirwan Firdaus Huhsaini, 35, dan Muhammad Zulkarnaen Zahari, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduh dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan curi dalam bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta kepunyaan pasar raya Aeon Ayer Keroh bernilai keseluruhan RM493.88 kira-kira pukul 5.50 petang pada 3 September lalu.
Antara 19 barangan yang dicuri adalah 10 peket susu Dutch Lady Gum, coklat Cadbury, empat peket Oreo, satu karton susu coklat, dua peket coklat Hershey’s Kisses, coklat Kit Kat, nestum, nasi ayam dan nasi goreng daging.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara dan bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.
Sepanjang pertuduhan itu, beberapa wanita yang turut hadir di galeri awam dipercayai isteri kepada tertuduh dilihat menangis.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili kesemua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah.
Muhammad Heirwan hujahnya, perlu menanggung isteri dan tiga orang anak dengan pendapatan harian sebanyak RM50 sebagai buruh manakala Hamzah juga bekerja sebagai buruh dan Muhammad Zulkarnaen seorang penjual burger dengan pendapatan harian sebanyak RM80.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 setiap orang dan menetapkan tarikh 13 Oktober depan sebagai sebutan semula kes dan lantikan peguam.
Sementara itu, Muhammad Heirwan dan Muhammad Zulkarnaen turut didakwa memberikan diri sendiri dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine masing-masing pada 24 Oktober 2024 dan 25 Mac 2023 di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Muhammad Zulkarnaen turut didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB kerana didapati dalam milikannya dadah berbahaya berat bersih 1.48 gram methamphetamine pada tarikh yang sama.
Kedua-dua tertuduh kemudian mengaku bersalah dan Muhammad Heirwan dijatuhi hukuman denda RM1,800 atau enam bulan penjara jika gagal bayar serta pengawasan polis selama dua tahun.
Muhammad Zulkarnaen pula dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dari tarikh ditangkap 3 September lalu. – MalaysiaGazette
















