KUALA LUMPUR – Sebayak 33 badan bukan kerajaan (NGO) yang berpengalaman mengendalikan misi kemanusiaan dalam dan luar negara, menubuhkan satu gabungan Sekretariat Aid4Lebanon untuk mengumpul sumbangan kepada mangsa letupan di Beirut minggu lalu.
Jurucakap Sekretariat Aid4Lebanon berkata, sumbangan seperti bekalan perubatan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya itu akan diserahkan kepada rakan NGO yang berada di Lubnan dengan kerjasama Wisma Putra.
“Besar harapan kami agar rakyat Malaysia dapat bersatu hati menunjukkan solidariti kepada mereka yang sangat memerlukan pada saat ini dan kami yakin kita semua mampu menjayakannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam letupan 4 Ogos lalu, menghancurkan sebahagian besar Pelabuhan Beirut dan membunuh sekurang-kurangnya 163 orang, mencederakan 6,000 lagi serta memusnahkan sekitar 6,000 bangunan.
Dijangkakan, lebih 300,000 rakyat Beirut kehilangan tempat tinggal dalam kejadian letupan Gudang menyimpan 2,750 tan ammonium nitrat yang disimpan di Pelabuhan Beirut.
Menurut Sekretariat Aid4Lebanon itu, hasil konsensus perjumpaan bersama Futa Khas ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam, menyimpulkan politik Rantau Asia Barat yang tidak stabil berhadapan dengan sebarang kemungkinan krisis politik pula.
Katanya, mereka bimbang krisis itu akan membawa kepada kancah peperangan dan menyeru semua NGO untuk turut sama memainkan peranan aktif dengan membantu rakyat dan negara Lubnan yang ditimpa musibah itu.
“Ini menambahkan lagi kesengsaraan Lubnan yang sedang bergelut dengan krisis ekonomi dan ancaman pandemik Covid-19 yang masih mengganas.
“Sebagai langkah merawat derita rakyat negara itu, sekretariat ini akan mengumpul dana kira-kira RM10 juta untuk disalurkan kepada mangsa.
Tragedi di Lubnan adalah ujian berat untuk mereka. Ia juga adalah peringatan dan ujian kepada kita juga. Sejauh mana kita peduli kesengsaraan umat Muhammad dan sejauh mana tindakan kita untuk meringankan penderitaan mereka,” katanya.
Antara NGO terlibat ialah PasRelief, Yayasan Amal Malaysia, Yayasan Kubra, Yayasan Isra’ Malaysia, Geng Ustaz, Muslim Care Malaysia, Muslim Care Global (MCG), Yaman Care, Syabab Care dan Azhar Care.
NGO lain termasuk Iman Care, Warga Cakna, Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Medicom, NurFitrah, MusMedik, International Muslim Women Union Malaysia (IMWU), Sadaqah Centre, Sahabat Care dan MyHawa. – MalaysiaGazette
















