Ismail Sabri Yaakob government corruption MACC
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu yang sedang menjalani proses kuarantin wajib di kediaman dikenakan tindakan tegas oleh polis.

Mereka didapati gagal mematuhi SOP kuarantin kediaman yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, setiap individu yang pulang dari luar negara dikenakan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.

Bagaimanapun, disebabkan ramai melanggar SOP, kerajaan tidak lagi membenarkan kuarantin di kediaman, sebaliknya mereka perlu menjalani proses itu di Stesen Kuarantin yang ditetapkan.

“Namun, masih ada tempoh tertentu bagi yang sedang menjalani proses kuarantin di kediaman dan mereka ini sentiasa dipantau oleh pihak berkuasa, sebelum tempoh itu habis.

“Semalam, polis telah melakukan sebanyak 1,445 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19  hari ini.

Menurut Ismail Sabri, polis bersama petugas KKM akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP dipatuhi.

Kata beliau, sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 9,498 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan semua mereka telah ditempatkan di 58 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

“ILA ini di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak, Perlis, Kedah, Labuan dan Johor,” katanya.

Sementara itu, jelas beliau, dari 9,498 individu yang pulang, seramai 20 orang telah dihantar ke hospital untuk rawatan dan 1,896 lagi telah di discaj dan dibenarkan pulang.

Mereka ini pulang dari 31 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia & New Zealand. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast