Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 6,301 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) tahun 2020 akan menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik yang bermula pada 17 hingga 19 Ogos ini

Peperiksaan itu akan dijalankan di 193 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata, pihaknya telah melantik seramai 1,445 petugas peperiksaan untuk mengendalikan peperiksaan SPMU tahun 2020.

Sehubungan ini, semua calon hendaklah merujuk kepada Jadual Waktu Peperiksaan SPMU untuk mendapatkan maklumat mengenai butiran peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual Waktu Peperiksaan SPMU boleh dimuat turun menerusi portal Lembaga Peperiksaan di alamat http://lp.moe.gov.my/.

Di samping itu, calon SPMU perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang boleh dimuat turun menerusi portal KPM di alamat https://www.moe.gov.my/ dan hendaklah dibaca bersama-sama dengan prosedur operasi standard (SOP) serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan Covid-19.

KPM menambah, calon juga diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan dengan lancar. – MalaysiaGazette