Gambar arkib

BUKIT MERTAJAM – Tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di tapak pembinaan di Pulau Pinang mencecah 95 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, menurut Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Pulau Pinang Norlida Nabil.

Bagaimanapun, beliau berkata ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik terutamanya dari segi penandaan penjarakan fizikal untuk tempat berhimpun pada waktu pagi, pengambilan suhu badan dan rekod kehadiran.

“CIDB Pulau Pinang telah melawat lebih kurang 600 tapak bina sejak PKP dijalankan dan kebanyakan tapak pembinaan patuh pada SOP. Daripada jumlah itu, 95 peratus patuh pada SOP manakala lima peratus lagi kami telah keluarkan amaran supaya mereka memperketatkan lagi SOP demi keselamatan semua,” katanya kepada pemberita selepas operasi penguatkuasaan bersepadu di tapak pembinaan sekitar Pulau Pinang, di sini semalam.

Beliau berkata operasi anjuran bersama CIDB dan beberapa agensi kerajaan itu adalah yang pertama dijalankan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas.

Antara agensi yang terlibat selain CIDB ialah Majlis Bandaraya Seberang Perai, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Suruhanjaya Tenaga, Jabatan Tenaga Kerja dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Norlida berkata operasi itu dijalankan bagi meninjau sama ada pihak bertanggungjawab mematuhi dan menekankan semua SOP kepada para pekerja binaan yang telah digariskan oleh kerajaan dan CIDB bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menurutnya, dalam operasi itu sebanyak 12 notis amaran dikeluarkan dan pihak kontraktor utama diberi tempoh tiga hari untuk mengemukakan maklumat yang diperlukan.

“Antara maklumat yang mereka perlu kemukakan ialah senarai subkontraktor, senarai pekerja terkini dan senarai bahan-bahan binaan digunakan yang telah mendapat Perakuan Pematuhan Standard (PPS).

“CIDB juga mengeluarkan notis bagi kesalahan pendaftaran, akreditasi dan latihan personal binaan. Kita mendapati bahawa masih ada 60 pekerja binaan yang tidak menjalani akreditasi kemahiran,” tambahnya.

— BERNAMA