KUALA LUMPUR – Institut Penyelidkan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) telah menghantar pasukan bagi menyiasat dan menganalisis punca nahas jalan raya di Jalan Keramat Pulai semalam yang mengakibatkan tujuh maut manakala tiga cedera.

Kemalangan maut itu membabitkan sebuah treler dengan sebuah kereat Perodua Alza.

Ketua Pengarahnya, Ir. Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, pihaknya memandang serius isu tersebut dan pasukannya telah diarahkan mengendalikan siasatan mendalam mengenalpasti punca kejadian.

“Hasil siasatan akan dibentangkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan Malaysia bagi cadangan penambahbaikan terhadap dasar yang melibatkan keselamatan jalan raya untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang.

“Pada masa yang sama, MIROS ingin menekankan keperluan rehat yang mencukupi sebelum melakukan perjalanan bagi mengelakkan daripada gejala microsleep berlaku dan membolehkan pemandu kekal waspada terhadap pemanduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, MIROS juga menyarankan perancangan perjalanan dapat dibuat bagi mengelakkan lebihan muatan pada kenderaan kerana ia mempengaruhi kestabilan kenderaan terutamanya terhadap kawalan stereng kenderaan dan tahap kecekapan brek.

Justeru katanya, MIROS juga berharap agar pemakaian tali pinggang keledar dapat dijadikan amalan di kalangan pengguna jalan raya.

“Dapatan kajian daripada institut-institut keselamatan di seluruh dunia mengesahkan pemakaian tali pinggang keledar mampu mengurangkan risiko kematian sehingga 50% apabila terlibat dalam perlanggaran.

“Pemakaian tali pinggang keledar yang betul akan menghalang penumpang daripada terhumban di dalam atau tercampak keluar dari kenderaan apabila berlaku sesuatu hentaman.

“MIROS mengingatkan agar semua pengguna jalan raya sentiasa patuh kepada peraturan jalan raya, pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan patuhi had laju yang ditetapkan serta memandu secara berhemah kerana setiap nyawa itu sangat berharga,” tegasnya.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tujuh maut kemalangan di Simpang Pulai