Warga Auckland membeli barang-barang keperluan di Grey Lynn menjelang pelaksanaan sekatan pergerakan. foto Agensi

AUCKLAND – Warga New Zealand bergegas mendapatkan barang keperluan harian dalam persiapan pelaksanaan sekatan pergerakan susulan kes baharu koronavirus yang dikesan selepas 102 hari tanpa jangkitan baru.

Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan Auckland dikenakan sekatan setelah empat kes baru Covid-19 disahkan daripada keluarga yang sama.

Ketika ini New Zealand masih menutup sempadan kepada warga asing dan warganya yang pulang dari luar negara dikenakan kuarantin.

New Zealand memaklumkan sumber jangkitan baharu tidak diketahui.

Di pasar-pasar raya orang ramai dilaporkan beratur panjang untuk membeli makanan dan barangan keperluan penting sebelum pelaksanaan sekatan pergerakan dilaksanakan.

New Zealand akan melaksanakan sekatan pergerakan tahap tiga di Auckland – bermakna orang ramai tidak dibenarkan ke pejabat dan sekolah.

Malah perhimpunan melebihi 10 orang juga dilarang.

Peraturan itu berkuatkuasa selama tiga hari sehingga Jumaat ini.

Manakala di lokasi-lokasi lain, sekatan pergerakan tahap dua dikenakan, yang mana rakyat perlu melaksanakan penjarakan pergerakan dan perhimpunan pula dihadkan kepada 100 orang sahaja.

Menteri Kesihatan, Chris Hipkins memberitahu Radio New Zealand pada hari Rabu bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka kepada penduduk Auckland.

Sebelum ini New Zealand berjaya menangani Covid-19 dan menjadi salah satu negara yang paling selamat, ketika wabak tersebut melanda di seluruh dunia. – MalaysiaGazette