Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2018
Datuk Seri Bung Moktar Radin. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diminta menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi melindungi kesihatan dan keselamatan semua pihak termasuk pengundi.

Ahli Parlimen (Kinabatangan-BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang membangkitkan perkara itu berkata, SOP itu perlu dilakukan dengan sebaik-baiknya oleh SPR serta libat urus daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini kerana kata beliau, perkara tersebut sudah menjadi satu kerisauan kepada penduduk di Sabah yang tidak mahu diri mereka dijangkiti Covid-19.

“Saya harap SPR letakkan satu SOP yang cukup menyakinkan rakyat supaya rakyat turun undi dan minta Jabatan Kesihatan bekerjasama sama ada calon atau tukang kempen tidak ada dicemari oleh virus korona ini.

“Ini membimbangkan rakyat Sabah jika kita hadapi PRN Negeri Sabah tanpa SOP lebih ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 di Dewan Rakyat, hari ini.

Bung Moktar turut menyindir tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini banyak melanggar peraturan pilihan raya.

Dengan memberikan contoh Bung Moktar berkata, SPR pernah menegaskan bahawa tidak dibenarkan untuk mengadakan makan minum namun, perkara itu diingkari PH yang ketika itu menjadi pemerintah.

“Kita di pihak pembangkang ketika itu baharu bungkus (makanan) pun dah dikompaun. Ini tidak adil dan P Ramlee pun cukup marah dengan orang yang tidak adil ini.

“Bayangkan dalam suasana Covid-19 ini, mungkin cadangkan pada kerajaan dan SPR letakkan terma, SOP, dan bagaimana PRN di Sabah boleh dilaksanakan, yang mana calon parti boleh berkempen bertemu dengan rakyat.

“Tetapi semua tidak kira, calon dan rakyat mesti selamat, bermakna keselamatan dan kesihatan perlu diutamakan,” ujarnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa turut memberi jaminan bahawa SPR akan melaksanakan SOP tersebut. – MalaysiaGazette