Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.

KUALA LUMPUR – Kegiatan satu sindiket pengedaran rokok seludup berjumlah RM6.1 juta yang bergiat aktif di seluruh semenanjung dalam satu Op Asap pada Selasa lalu.

Kejayaan itu hasil risikan maklumat awam dan operasi oleh pasukan polis Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselaamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman di Masai, Johor Bahru.

Pengarahnya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan lima orang lelaki warga tempatan berusia antara 21 hingga 49 tahun untuk siasatan lanjut.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas sejumlah 4,100,000 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3,075,000.00.

“Turut dirampas sebuah lori tiga tan, sebuah lori lima tan dan dua buah kereta Perodua Myvi serta sebuah Proto Waja dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM3,230,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan daripada siasatan dan maklumat tambahan yang diperolehi melalui serbuan pertama, tambah beliau pasukan sama telah melakukan serbuan kedua di Kilometer 271.5 kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban, Negeri Sembilan.

Hasilnya, kata Acryl Sani, polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun bersama sebuah lori tujuh tan.

Menurut beliau, pemeriksaan dalam lori tersebut berjaya menemui dan merampas sebanyak 4,050,000 batang rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3,037,500.

“Rampasan bagi serbuan kedua dianggarkan bernilai RM3,102,500 sekali gus jumlah keseluruhan rampasan menerusi kedua-dua serbuan itu adalah melibatkan 8,150,000 batang rokok seludup bernilai RM6,112,500 termasuk cukai dan kesemua kenderaan yang disita bernilai RM220,000.

“Kesemua lima suspek dalam serbuan pertama direman empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan mulai hari ini hingga 15 Ogos lalu.

“Salah seorang suspemk memiliki rekod jenayah lampau manakala seorang lagi suspek yang ditahan dalam serbuan kedua direman di IPD Nilai selama tiga hari sehingga 14 Ogos ini,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.-MalaysiaGazette