Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) merancang untuk menghantar skuad wushu kebangsaan menyertai kejohanan jemputan di Macau pada awal November ini.-Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Persekutuan Wushu Malaysia (WFM) merancang untuk menghantar skuad wushu kebangsaan menyertai kejohanan jemputan di Macau pada awal November, sebagai sebahagian daripada persiapan untuk beberapa kejohanan tahun depan, termasuk Sukan SEA ke-31 di Vietnam.

Presidennya, Datuk Chong Kim Fatt berkata selain Malaysia dan Macau, tiga lagi negara dijangka menyertai kejohanan itu iaitu Singapura, Hong Kong dan Indonesia.

“Kejohanan ini adalah sebahagian daripada persiapan kami sebelum menyertai Sukan SEA ke-31 memandangkan tiada kejohanan diadakan tahun ini berikutan pandemik COVID-19.

“Kami akan menghantar seluruh skuad untuk latihan selama seminggu bersama pasukan Hong Kong di Macau sebelum atlet menyertai kejohanan itu. Bagi eksponen muda, ia akan menjadi platform terbaik untuk mereka mendapat pengalaman berharga sebelum menyertai Sukan SEA 2021 di Vietnam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Chong bagaimanapun, mendedahkan penyertaan mereka di Macau masih menunggu kelulusan daripada Majlis Sukan Negara yang terus memantau situasi COVID-19.

Skuad wushu negara akan bergantung kepada sebilangan besar pemain muda untuk beberapa kejohanan pada tahun-tahun akan datang berikutan pengunduran atlet senior seperti Loh Choon How yang mengalami kecederaan berulang kali dan Phoon Eyin yang ingin memberi tumpuan kepada pelajarannya.

Baru-baru ini, WFM menerima rangsangan utama selepas lima eksponen sandaran wushu kebangsaan berjaya menyertai Program Podium iaitu Ang Qi Yue, Tan Chong Wan, Tan Zhi Yan, Pang Pui Yee dan Tammy Tan Hui Ling.

Program itu dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang ditangguh ke tahun hadapan berikutan COVID-19.- BERNAMA