Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS) berpandangan had maksimum bertugas atau sistem penggiliran/pertukaran dalam kalangan kakitangan penguatkuasa amat wajar dilaksanakan.

Had maksimum bertugas serta penggiliran/pertukaran ke unit/jabatan lain ini akan menjadikan penjawat awam tidak berasa terlalu selesa sekiranya bertugas terlalu lama di sesuatu unit/jabatan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, perasaan terlalu selesa ini bukan sahaja menjadikan penjawat awam tidak kompeten, malah mengundang ke arah penyalahgunaan kuasa.

”Bagi agensi tertutup seperti pihak berkuasa tempatan, penggiliran tugas boleh dilakukan bagi membendung seseorang itu keberadaan ditempat yg sama terlalu lama. Skop fungsi tugas boleh diubah setiap tiga tahun atau membuat pertukaran dalaman pada suatu pekan kecil yang lain bagi mengelakkan berada ditempat yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, CUEPACS memandang serius isu-isu berkaitan pelanggaran integriti dan pecah amanah yang melibatkan penjawat awam di negara ini.

Biarpun berasa dukacita dengan kes-kes pelanggaran integriti melibatkan penjawat awam, CUEPACS berharap perbicaraan adil dan telus perlu diberikan kepada setiap rakyat termasuk penjawat awam itu sendiri bagi memastikan tidak wujud unsur penganiayaan.

Walaupun telah ditahan, perkara ini tidak membuktikan mereka bersalah sebelum mahkamah membuktikan mereka bersalah.

”Harus ditegaskan bahawa CUEPACS tidak akan bersama-sama melindungi individu yang terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang negara.

”Hukuman yang setimpal wajar dikenakan sekiranya individu tersebut terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Sebagaimana rakyat biasa dan masyarakat awam yang lain, penjawat awam juga tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dengan sesuatu aktiviti yang menyalahi undang-undang negara.

” Harus diingatkan selain hukuman dan denda, risiko lain yang harus ditanggung adalah penjawat awam boleh digantung tugas, dibuang atau ditamatkan daripada perkhidmatan kerajaan. Jika ini berlaku, penjawat awam tidak lagi akan menerima apa-apa keistimewaan yang diperoleh sebagai penjawat awam termasuk kemudahan pencen,” ujarnya.

Justeru itu CUEPACS berharap semua penjawat awam harus sedar dan sentiasa mengingati prinsip serta ikrar sebagai penjawat awam.

Tegas Adnan, penjawat awam bukan sahaja perlu berkhidmat untuk rakyat dan negara, malah menjadi contoh kepada masyarakat yang mematuhi undang-undang. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.