Mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (kanan) bercakap pada sidang media bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 13 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor yang akan bersara wajib esok akan menerima penghargaan daripada kerajaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kerajaan berhasrat untuk menggunakan pengalaman Mazlan selama 40 tahun dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta kelulusan akademik dalam bidang undang-undangnya untuk menyumbang kepada rakyat dan negara.

“Kerajaan sebenarnya ada hasrat menawarkan jawatan tertentu kepadanya, jadi kita tunggu untuk pengumumannya nanti.

“”Itu adalah keputusan oleh Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai penghargaan kepada jawatan (Timbalan Ketua Polis) yang telah disandang Mazlan selama ini,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis Serah Terima Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara antara Mazlan dan Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani yang akan memangku jawatan tersebut di Maktab PDRM di Cheras, di sini hari ini.

Sementara itu, Mazlan berkata, sebagai kenangan dan penghargaan kepada PDRM beliau telah menulis sebuah buku bertajuk Observation (pemerihatian) untuk dimanfaatkan sebagai rujukan untuk PDRM.

Katanya, beliau yang akan menjalani kehidupan sebagai orang awam mulai esok bersedia mencurahkan segala pengalaman kepada PDRM dan kerajaan.

Observastion ini adalah habit (tabiat) saya merakamkan perbuatan saya kerana bagi saya itu adalah satu perkara yang saya takut esok tidak akan ingat dan terpadam dari memori.

“Tohmahan, tuduhan, bukti dan segala juga input yang membaiki prestasi PDRM serta apa-apa sahaja jawatan yang saya pegang kalau ada benda yang tak betul, saya observe (perhati), perkara wajib diperbaiki akan ditulis di belakang diari catitan minit mesyuarat harian sepanjang 40 tahun ini.

“Ia bermula dari memegang pangkat Inspektor, Asisten Superintendan sehingga sekarang terikut dan tidak mahu lupa perkara berkenaan. Maka setiap kali saya tulis akan taip siap-siap dengan beberapa add on (tambahan).

“Adalah rugi jika saya tidak pulangkan kepada kemajuan pasukan segala input saya. Oleh sebab itu saya tidak mahu bawa balik bersama tapi mahu generasi baharu PDRM menjadikannya pedoman dalam perkhidmatan meliputi aspek taktikal sebagai bahan rujukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette