KUALA LUMPUR – Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yang baharu, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan memberi khidmat bakti yang terbaik untuk memastikan industri penerbangan negara setanding dengan negara lain.
Beliau yang ditemui MalaysiaGazette di sebuah hotel di sini, hari ini berkata, pihaknya akan bekerja keras bagi memastikan industri penerbangan domestik dan antarabangsa berada dalam keadaan baik, terutama dalam suasana cabaran ekonomi dan pandemik Covid-19 ketika ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kewangan atas pelantikan ini.
“Saya akan memberikan khidmat bakti saya yang terbaik untuk memastikan MAHB dapat bergerak setanding dengan negara lain, apatah lagi dalam keadaan suasana cabaran ekonomi dan Covid-19 yang sedia ada yang berkait rapat dengan industri penerbangan,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan surat pelantikan Profesor Adjung Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini.
Surat pelantikan itu disampaikan Naib Cancelor USAS, Tan Sri Nordin Kardin dalam majlis ringkas tengah hari ini.
Turut dilantik Profesor Adjung ialah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Kelmarin, MAHB mengumumkan bekas Menteri Besar Perak itu akan mengambil alih jawatan Pengerusi berkuat kuasa semalam.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, Zambry akan menggantikan Tan Sri Zainun Ali yang melepaskan jawatan berkuatkuasa serta merta.
Zambry, 58, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor.
Menurut Zambry, apabila menerima tanggungjawab itu, tentunya beliau memerlukan langkah-langkah yang lebih kreatif dan dinamik untuk memastikan MAHB sentiasa berada di landasannya.
“Kita akan memastikan MAHB berkembang dengan baik dan cuba mengelakkan dari berlaku sebarang kesulitan yang membantut dari segi pertumbuhan industri ini.
“Saya telah pun mendapat taklimat ringkas pagi tadi dari Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAHB, Mohd Shukrie Mohd Salleh dan gambaran yang diberikan kepada saya menunjukkan perancangan yang ada berada ada atas landasan yang betul.
“Saya juga dimaklumkan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan pertumbuhan industri ini dapat dibangunkan, dan telah pun dilakukan.
“Saya berharap masalah ini dapat diatasi khususnya yang melibatkan pandemik Covid-19 kerana ia berkait rapat dengan isu penerbangan di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette
















