KUALA LUMPUR – Institusi perbankan negara diminta melaksanakan lanjutan moratorium bersasar kepada kakitangan syarikat penerbangan yang terjejas dengan Covid-19 seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini dan bukan melakukan sebaliknya.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, pihaknya dimaklumkan oleh kakitangan-kakitangan terlibat bahawa bank-bank sebenarnya menawarkan lanjutan pembayaran sehingga tujuh dan 10 tahun daripada baki pinjaman mereka.

”Kakitangan-kakitangan syarikat penerbangan ini mengeluh kerana perbincangan yang dibuat dengan bank adalah berbeza dengan kenyataan kerajaan.

“Kakitangan ini diberitahu oleh bank bahawa penangguhan bayaran tidak mungkin dapat dilakukan tetapi hanya pinjaman yang akan dipanjangkan, Ini bermakna peminjam perlu membayar hutang dalam jangka masa yang lebih lama dengan lebih banyak faedah kepada bank,” kata Sekretariat NUFAM.

Artikel berkaitan: Lanjutan moratorium: Golongan terjejas boleh tarik nafas lega

Langkah yang diambil oleh bank-bank ini sama sekali tidak adil dan menentang prinsip kemanusiaan, katanya.

Berikutan itu, NUFAM mempersoalkan adakah institusi perbankan mengambil kesempatan dengan situasi Covid-19.

”Bagaimana bank-bank ini boleh melanjutkan tempoh pinjaman hingga tujuh atau 10 tahun lagi sedangkan pekerja hanya mempunyai baki dua hingga tiga tahun untuk melunaskan pinjaman mereka?

”Paling tidak apa yang mereka dapat lakukan adalah membayar jumlah terendah untuk pinjaman mereka sehingga industri ini pulih sepenuhnya. Kami yakin semua bank dapat menawar dan membantu kakitangan-kakitangan ini,” katanya.

Pada 29 Julai lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan individu yang kehilangan kerja pada tahun ini dan masih belum mendapat pekerjaan baharu layak menikmati moratorium lanjutan untuk tempoh tiga bulan lagi.

Selepas tempoh tersebut, moratorium boleh dilanjutkan oleh bank-bank bergantung kepada situasi masing-masing.

Lanjutan boleh diberikan tertakluk kepada keadaan gaji semasa individu berkenaan.

NUFAM berkata, banyak kakitangan industri penerbangan telah dibuang kerja dan masih gagal mendapat pekerjaan baharu memandangkan banyak syarikat belum lagi mengambil pekerja.

Mereka yang masih bekerja juga terjejas sejak pendapatan bulanan dikurangkan secara drastik sehingga 80%.

Ada yang pula diminta mengambil cuti tanpa gaji dan mereka ini pula berpendapatan kurang daripada RM500 sebulan.

Masalah pendapatan yang dihadapi oleh kakitangan-kakitangan ini adalah kritikal kerana semua syarikat penerbangan terpaksa mengurangkan operasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Bukan syarikat penerbangan tempatan sahaja yang terjejas tetapi di seluruh dunia dan mungkin mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk pulih.

”Oleh itu, kami menggesa pihak bank untuk membantu pekerja ini dan bukannya meletakkan mereka dalam tekanan. Mereka ini masih perlu menjalani kehidupan,” tegasnya.

Lantaran itu, NUFAM mahu kerajaan melaksanakan formula yang lebih baik bagi membantu peminjam-peminjam yang terjejas akibat pandemik koronavirus.

”Kami berharap kerajaan akan memberikan perlindungan dan langkah-langkah yang lebih baik bagi mereka yang terjejas terutamanya dalam industri pelancongan seperti syarikat penerbangan lain selain melanjutkan tempoh moratorium selama tiga bulan. – MalaysiaGazette